AMBIL VAKSIN UNTUK LINDUNGI DIRI DAN KELUARGA

Keputusan tegas kerajaan untuk melaksanakan ‘full lockdown’ menerusi PKP 3.0 dua minggu lalu sudah menampakkan hasil dan kini kes harian mula berkurangan. Bagaimanapun risiko jangkitan COVID-19 masih kekal, terutamanya kepada golongan yang berpenyakit dan punyai komplikasi kesihatan.

Untuk memastikan perlindungan yang benar-benar berkesan untuk diri kita, keluarga dan juga masyarakat, jawapannya adalah vaksinasi dan imuniti kelompok. Ini adalah intipati utama ‘exit strategy’ kita daripada COVID-19.

Saya menyokong gesaan pelbagai pihak agar rakyat segera mendaftar untuk mendapatkan vaksin. Selain dari pematuhan SOP dan penjarakan sosial, hanya vaksin dapat membolehkan kita kembali ke kehidupan normal dalam masa yang terdekat. Ini telah terbukti di beberapa negara seperti United Kingdom, di mana masyarakat mereka telah mula keluar menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial seperti biasa, apabila majoriti rakyat mereka sudah divaksin.

Alhamdulillah, usaha memberikan vaksin kepada penduduk Malaysia, termasuklah golongan warga asing, kini semakin rancak. Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan, berjuta dos vaksin kini dibekalkan dan beratus-ratus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kini dibuka di seluruh pelusuk negara, termasuklah PPV bergerak dan program Outreach yang memastikan penduduk luar bandar turut dilindungi.

Tetapi, usaha kerajaan ini hanya akan mencapai matlamat sekiranya setiap seorang daripada kita, tidak kira usia dan latarbelakang, turut memberikan sokongan dan bantuan bagi menjayakan usaha ini.

Yang paling penting, kita perlu mendaftar untuk divaksin, menerusi saluran yang telah disediakan seperti https://www.vaksincovid.gov.my/ dan MySejahtera, dan menghadiri temujanji yang telah ditetapkan.

Setiap seorang dari kita juga perlu membantu ahli keluarga kita, sanak saudara, rakan-rakan dan jiran tetangga mendaftar. Kerajaan tak putus-putus menambahbaik sistem yang ada. Kita semua bertanggungjawab untuk memastikan sasaran 80 peratus imuniti kelompok negara kita tercapai.

Kita juga perlu menolak dakyah anti-vaksin yang menular di media sosial. Pandangan golongan yang menolak sains dan pakar perubatan ini amat merbahaya dan mesti dihentikan. Jangan kongsi dakwaan-dakwaan yang tidak pasti. Dapatkan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar perubatan jika perlu.

Usaha keluar dari wabak ini hanya akaan Berjaya dengan berkat usaha kita semua, terutama frontliners yang setiap hari berkorban, serta kerjasama setiap rakyat setiap masa.

 

YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Shamsudin

Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *