Hati-hati agenda politik Anwar, Mat Sabu, Guan Eng

Gesaan Pakatan Harapan (PH) melalui Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kononnya jika Parlimen tidak dibuka dalam waktu terdekat merupakan niat sebenar kelompok tersebut yang mengejar kepentingan politik peribadi dan jawatan.

Kelompok itu bagaikan menangguk di air keruh dengan cuba memutar-belitkan kenyataan dari Istana Negara seolah-olah Parlimen patut dibuka sekarang juga tanpa mengira situasi wabak Covid-19 yang masih mengganas di luar sana serta mengancam semua pihak tanpa mengira sesiapa.

Kenyataan Istana Negara semalam bertepatan dengan kenyataan Perdana Menteri sebelumnya bahawa Parlimen akan dibuka secepat mungkin setelah kadar vaksinasi kebangsaan mencapai sasaran tertentu dan apabila kes-kes baharu Covid-19 dapat diturunkan dengan drastik.

Tiada titah dari YDP Agong agar Parlimen dibuka sekarang juga ketika darurat sedang berlangsung hingga 1 Ogos nanti.

Kelompok yang mengejar kepentingan politik peribadi itu juga sengaja menjadikan kenyataan Istana Negara

sebagai modal untuk mengalihkan perhatian rakyat di negara ini yang sedang bergelut dengan penularan wabak berskala global serta masalah ekonomi kesan darinya.

Rakyat perlulah ingat bahawa kerajaan Malaysia sedang berusaha bersungguh-sungguh setiap hari bersama para petugas barisan hadapan untuk menjayakan agenda pemulihan negara sambil mengimbangi tuntutan pelbagai pihak.

Harus diingat kenyataan dari Istana Negara langsung tidak menyebut bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekarang gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya malah tiada pula dilayan sebarang cadangan untuk membentuk MAGERAN (Majlis Gerakan Negara), PRU (Pilihan Raya Umum) dalam waktu terdekat atau sebarang bentuk pertukaran kepimpinan negara yang sedia ada.

Sesungguhnya YDP Agong dengan segala kebijaksanaan baginda, amat memahami realiti semasa negara yang memerlukan kerjasama semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing demi rakyat, bukan demi kepentingan peribadi, apatah lagi bermain politik di kala negara amat memerlukan kestabilan politik dalam menghadapi bencana besar seperti sekarang.

Amatlah tidak bertanggungjawab kelompok yang mengejar kepentingan politik peribadi itu yang mahu Parlimen dibuka sekarang sungguhpun mereka tahu kadar vaksinasi nasional belum mencapai 50 peratus populasi negara.

Sedangkan mereka tahu kadar vaksinasi yang sedang diusahakan kerajaan makin hari makin meningkat kepantasannya. Tidak bolehkah mereka bersabar sedikit masa lagi?

Jika Parlimen dibuka sekarang, bukan saja ahli-ahli Parlimen, sama ada yang sudah menerima vaksin atau belum, pasti terdedah dengan varian-varian baharu Covid-19 yang lebih ganas, malah semua pihak yang terpaksa hadir ke Parlimen, dari tukang cuci, pengawal keselamatan, hinggalah kepada staf Parlimen serta para pegawai kementerian yang berkaitan, lebih kurang dalam 1,000 nyawa akan terdedah dengan wabak tersebut.

Kita tidak mahu kelak nanti wujud pula Kluster Parlimen yang mengorbankan nyawa terutama mereka yang berada dalam kelompok berisiko tinggi akibat mempunyai penyakit-penyakit kronik yang lain.

Cadangan sidang Parlimen secara maya atau hibrid pula mempunyai keterbatasan tertentu memandangkan ia pertama kali dicadangkan, maka sudah tentu ia mengambil masa untuk direalisasikan agar tiada masalah teknikal yang berbangkit kemudian hari.

Andai kata wujud Kluster Parlimen oleh mereka yang hadir ke Parlimen sekarang atau masalah teknikal ketika sidang secara maya, maka sudah tentu ia akan dijadikan pula modal politik oleh kelompok tidak bertanggungjawab tadi.

Rakyat Malaysia sudah muak melihat aksi-aksi riuh rendah dalam Dewan Rakyat berserta sikap tidak profesional dan tidak ikhlas beberapa ahli Parlimen yang selama ini hanya bertikam lidah tanpa sebarang objektif yang benar-benar memberi manfaat ke arah bangsa dan negara.

 

Dr. Muhammad Faiz Na’aman

Ahli Majlis Pimpinan Tertingg

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *