Selesaikan vaksin kepada rakyat, baru fikir sidang parlimen

BINTULU 22 Jun – Masyarakat Bintulu meminta kerajaan tidak menghiraukan desakan politik yang mahukan Persidangan Parlimen dibuka segera kerana bagi mereka keutamaan masa kini ialah pemberian vaksin kepada seramai mungkin penduduk.

Mereka juga berpendapat pemberian vaksin juga akan membolehkan penduduk kembali bekerja untuk menjana pendapat kerana ia secara langsung dapat memulihkan ekonomi setempat.

Malah, selagi pemberian vaksin belum selesai, penduduk Bintulu pasti berhadapan masalah kembali bekerja.

Duke Janteng, Ketua Bahagian BERSATU Bintulu.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bintulu, Duke Janteng berkata, masyarakat Bintulu menyuarakan pandangan mereka itu setelah pihaknya menjalankan soal selidik berhubung isu semasa.

Menurutnya, masyarakat Bintulu berpandangan pembukaan segera Sidang Parlimen lebih kepada memenuhi kepentingan politik pihak tertentu dan bukan tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.

“Penduduk mahu suntikan vaksin diberi keutamaan agar penduduk di sini dapat kembali kerja.

“Menjadi harapan agar pemberian vaksin itu dapat mencapai 80 peratus bagi masyarakat Bintulu pada Julai atau Ogos ini.

“Jika ini dapat dilakukan, penduduk berharap dapat kembali bekerja dan menjana semula pendapatan kerana di sini ada industri serta kilang yang boleh beroperasi semula.

“Oleh itu kerajaan jangan menghiraukan desakan politik pihak tertentu yang mahukan Sidang Parlimen diadakan segera,” katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini berusaha meningkatkan jumlah pemberian vaksin di seluruh negara adalah tepat kerana itu sebenarnya yang rakyat mahukan.

Jelasnya, rakyat termasuk di Bintulu kini berebut-rebut untuk mendapatkan vaksin dan ada yang sanggup `walk in’ jika berpeluang berbuat demikian.

“Pemberian vaksin inilah sebenarnya penyelesaian kepada masalah rakyat. Pemberian vaksin ini dapat membawa kepada rakyat mula bekerja dan seterusnya kepada penyelesaian ekonomi dan pendapatan.

“Rakyat berpandangan, jika Sidang Parlimen disegerakan ia lebih kepada perbalahan ahli politik dan desakan serta kepentingan politik pihak tertentu.

“Masyarakat mahu kerajaan fokus kepada penyelesaian isu rakyat terutama pemberian vaksin. Percayalah bahawa penyelesaian pemberian vaksin ini akan membawa kepada penyelesaian masalah lain yang berkaitan dengan Covid-19,” katanya.

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *