Zahid buat-buat tak faham perlembagaan?

Datuk Seri Zahid Hamidi memberi ‘ultimatum’ kepada kerajaan supaya membuka sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, dan mendakwa bahawa kegagalan untuk berbuat demikian adalah satu perbuatan ‘derhaka’ kepada Raja.

Saya ambil sedikit masa untuk membaca peraturan yang berkaitan dan pandangan pakar-pakar. Dan saya juga mengambil masa untuk melihat dahulu reaksi rakan-rakan lain dalam hal ini.

Dengan hormat, saya melihat Zahid seperti buat-buat tidak faham Perlembagaan dan peraturan parlimen. Dan lebih penting dari itu, kelihatan seolah-olah Zahid bertekad mahu memecahkan kesatuan politik Melayu walaupun ramai rakan-rakan dari UMNO yang istiqamah tidak mahu PKR dan DAP kembali ke Putrajaya.

Negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat kerajaan. Tiada soal derhaka atau tidak. Ini soal pentadbiran kerajaan yang berasaskan perundangan dan Perlembagaan. Maka apabila tempoh notis memanggil sidang ialah 28 hari, peraturan mana yang dia rujuk untuk mengugut 14 hari?

Malahan, Tuanku Raja-Raja menitahkan pentingnya kestabilan politik. Apabila Zahid sengaja menggugat kestabilan politik, siapa yang derhaka?

Tetapi saya membezakan antara Zahid dan UMNO. Saya berbual dengan ramai rakan-rakan daripada UMNO dalam sehari dua ini untuk lebih memahami situasi. Mereka memberitahu saya bahawa mereka sendiri yang akan memberi reaksi.

Terkini kita melihat bukan sahaja Menteri, Timbalan Menteri dan ahli-Ahli Parlimen daripada UMNO telah memberi reaksi, malahan pemimpin akar umbi UMNO dan komponen Barisan Nasional juga ada yang telah bersuara.

Ramai orang UMNO yang berbeza daripada Zahid dan beberapa orang individu lain yang mengepalai kempen merungut dalam negara. Orang UMNO di akar umbi berpengalaman berpuluh tahun dengan perjuangan politik untuk agama, bangsa dan tanah air. Mereka mahu penyatuan politik Melayu, dan menolak usaha membawa DAP menjadi kerajaan, apatah lagi usaha menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Saya juga yakin seluruh jentera BERSATU akan terus memberi tumpuan kepada usaha menjayakan kempen vaksinasi. Tumpuan kita ialah kebajikan rakyat, kesihatan rakyat, dan ekonomi rakyat. Kita tidak mahu perhatian kita terpesong daripada perkara-perkara pokok ini.

Bagi saya, yang lebih penting ialah kestabilan dan kesatuan agar tumpuan kita kekal kepada rakyat, bukan agenda mana-mana individu.

 

Datuk Wan Saiful Wan Jan

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *