KP BERSATU terkejut Nazri dakwa Zahid dendam terhadap Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 9 Jul — Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan terkejut Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyimpan dendam peribadi terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, timbul persoalan jika integriti Muhyiddin mempertahankan kebebasan mahkamah merupakan sebab sebenar kenapa Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak beriya-iya menjadikan Presiden BERSATU sebagai sasaran.

“Saya terkejut membaca pendedahan Nazri Aziz bahawa Zahid Hamidi ada dendam peribadi terhadap Muhyiddin. Ini satu pendedahan yang besar. Kedua-dua Zahid Hamidi dan Najib Razak sedang menghadapi kemungkinan besar masuk penjara.

“Mungkinkah Zahid dan Najib pernah minta Muhyiddin campur tangan urusan mahkamah tapi Muhyiddin tak mahu?

“Mungkinkah ketegasan integriti Muhyiddin mempertahankan kebebasan mahkamah merupakan sebab sebenar kenapa Zahid dan Najib beriya-iya menjadikan Muhyiddin sebagai sasaran?

“Saya sering katakan bahawa UMNO ialah parti lama yang mempunyai ramai ahli akar umbi yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Jika agenda kita ialah agama, bangsa dan negara, maka agenda kita sama.

“Tetapi adakah Zahid dan Najib mempergunakan keikhlasan UMNO untuk melepaskan diri mereka sendiri sahaja? Kalau benar, ini merupakan satu malapetaka besar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Saiful mengulas laporan Agenda Daily bahawa pemimpin UMNO Nazri Aziz mendakwa Ahmad Azhid berdendam dengan Muhyiddin kerana enggan menolongnya dalam menyelesaikan berdozen pertuduhan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Kata Nazri, tindakan Zahid menggunakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan disebabkan perbicaraan kesnya yang semakin hampir dijatuh hukuman dan sudah kesuntukan masa.

Jelasnya, menambahkan lagi amarah Zahid apabila beliau tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebaliknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipilih sebagai pemimpin nombor dua negara.

“Kes Zahid tetap tidak selesai sebab Tan Sri Muhyiddin tidak mahu berkompromi. Ini bermakna keputusan tersebut lebih kepada pengaruh dan dendam,” katanya.

“Ternyata keputusan MKT semalam lebih kepada agenda peribadi Zahid untuk membalas dendam terhadap Muhyiddin sebab bila dilantik UMNO menjadi Timbalan Perdana Menteri, bermakna pintu telah tertutup buat selama-lamanya bagi Zahid,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful mencabar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mendedahkan apakah tawaran yang telah ditawar kepada Ahmad Zahid dan Najib sehingga mereka sanggup mensabotaj perpaduan parti-parti Melayu untuk menggantikannya dengan jajaran baru.

Malam Rabu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *