BERSATU cadang aktifkan semula MKB

KUALA LUMPUR, 20 Julai — BERSATU semalam mencadangkan supaya Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) diaktifkan semula dan diletakkan di bawah seliaan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam sesi konsultasi bersama Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata setakat ini MKB hanya bermesyuarat sekali saja pada Januari lalu sejurus penubuhannya sedangkan sektor ekonomi Bumiputera paling terkesan berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, melalui MKB kerajaan perlu menyasar untuk mewujudkan 1,000 syarikat Bumiputera bernilai tinggi yang dibantu secara langsung dengan syarat mereka menembusi pasaran antarabangsa.

“Ini langkah diambil Korea Selatan yang berjaya mewujudkan Samsung dan Hyundai. PMO dengan dengan bantuan syarikat swasta boleh uruskan pendekatan khas ini tanpa kerenah birokrasi.

“Jadikan syarat juga bahawa syarikat ini perlu mempunyai pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang dalam tempoh tiga tahun, selain mewujudkan penaja dalam kalangan menteri dan timbalan menteri Melayu Islam untuk menjaga syarikat ini,” katanya.

MKB adalah platform untuk kerajaan memperkasakan sosioekonomi Bumiputera dengan sasaran lonjakan pembangunan keusahawanan berganda di pelbagai peringkat dengan usaha itu diterajui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) selaku agensi penyelaras utamanya.

Semalam, Dr Muhammad Faiz bersama tiga lagi wakil BERSATU mengadakan sesi konsultasi PPN bersama Tengku Zafrul.

Turut dijemput menyertai sesi konsultasi secara berasingan sejak minggu lalu ialah wakil parti lain termasuk pembangkang seperti Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dr Muhammad Faiz berkata, turut dicadangkan pihaknya ialah kerajaan memberikan tumpuan kepada industri bioteknologi yang turut membabitkan bidang farmaseutikal, bio perubatan dan pertanian untuk dijadikan sumber ekonomi alternatif rakyat khususnya Bumiputera.

Katanya, Malaysia memiliki kelebihan dalam industri bioteknologi kerana mempunyai kepelbagaian bio paling tinggi, namun ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002 pernah mencadangkan projek lembah bio, namun ia tidak diteruskan apabila teraju pemerintahan bertukar tangan sehingga merugikan negara walaupun mempunyai ramai graduan dalam bidang bioteknologi dan biomedik.

“Saya juga memohon kerajaan mempermudahkan birokrasi berkaitan pelaburan untuk bioteknologi kerana ia dikenal pasti antara punca banyak syarikat tidak dapat melaksanakan pelan pelaburan mereka.

“Apabila kita ada kawasan industri, secara automatik peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat dan pada masa sama, kepelbagaian bio yang kita miliki boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan pelbagai produk tidak dapat dibuat negara luar kerana masalah cuaca,” katanya.

Beliau berkata, turut dicadangkan ialah keperluan mewujudkan platform atau sistem memudahkan peniaga mikro mendapat pelaburan daripada pelabur berminat.

Katanya, antara punca masalah peniaga kecil tidak mendapat pelaburan ialah ketiadaan dokumentasi lengkap sehingga pelabur berminat tidak mempunyai keyakinan.

“Saya juga membangkitkan isu keselamatan makanan termasuk perikanan. Fungsi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga perlu rombak supaya lebih efektif dan kompetitif.

“Ini bagi memastikan bekalan makanan dihasilkan dalam negara mencukupi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga atau peraih yang memonopoli harga sambil memastikan kemakmuram ekonomi petani, nelayan dan penternak,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *