Ini pertunjukan politik untuk rampas, guna keadaan rakyat untuk tujuan mereka

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengecam ahli Parlimen pembangkang yang sengaja membuat kecoh mengenai isu darurat ketika Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berucap.

Ini berikutan mereka tidak berpuas hati dengan pengumuman pembatalan ordinan darurat dalam sesi pertama semalam yang dianggap tidak jelas.

“Semua tipu daya ini tidak lain hanyalah sebuah pertunjukan politik untuk merampas, menggunakan keadaan rakyat sebagai jalan untuk tujuan mereka.

“Dan sebilangan liberal ini tiba-tiba menjadi promonarki? Hipokrit.

“DNA politik mereka tidak menyukai institusi seperti itu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam kenyataan pada Selasa.

Isu pembatalan Ordinan Darurat dan pembelaan terhadap hak-hak doktor kontrak terus dibangkitkan Ahli Parlimen pada hari kedua Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada hari kedua persidangan selain cadangan bagi penambahbaikan terhadap usaha menangani pandemik COVID-19.

Umpama gelanggang mahkamah, hampir dua jam sesi awal ‘panas’ apabila beberapa Ahli Parlimen yang majoritinya memiliki latar belakang sebagai peguam bangkit mempersoal pengumuman pembatalan ordinan darurat dalam sesi pertama semalam yang dianggap tidak jelas.

Gobind Singh Deo (PH-Puchong), yang merujuk kepada Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, mempersoal sama ada pembatalannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan adakah ia mengikut prosedur seperti tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) turut bangun dan memaklumkan bahawa beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 juga tidak tahu-menahu mengenai pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu.

Isu sama turut dibangkitkan oleh Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mempersoal kesan terhadap kes-kes yang didakwa di mahkamah manakala M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat), RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) pula meminta penjelasan mengenainya diberikan serta-merta.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mempengerusikan majlis mesyuarat itu, berkata beliau sebagai Ahli Parlimen turut merasai perkara sama.

Takiyuddin berkata penjelasan berhubung segala isu yang dibangkitkan akan dijawab Isnin ini dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, ketika mengendalikan sesi dewan selepas itu, turut bertegas dengan keputusan sama seperti yang dibuatnya semalam.

Situasi kembali tenang ketika persidangan bersambung dengan penerangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai pandemik COVID-19 dalam negara dari segi kaedah penularan dan jumlah kes selain tindakan yang diambil kerajaan dalam mempersiap Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 serta fasiliti di hospital.

Ahli Parlimen Tenggara itu turut memaklumkan bahawa sehingga 31 April 2021, sebanyak 278,023 jawatan tetap dan lebih 40,000 pelantikan secara kontrak diluluskan.

Suasana kembali hangat dengan perang mulut antara Ahli Parlimen pembangkang dengan Dr Adham ketika Menteri Kesihatan itu menggulung perbahasan termasuk mengenai isu penggunaan ubat Ivermectin untuk merawat pesakit COVID-19.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *