366 rumah dipukul ribut akan dibaik pulih – Rasman

KOTA TINGGI, 30 Julai – Proses membaik pulih 13 daripada 366 buah rumah di tujuh kawasan yang rosak akibat ribut di Tanjung Sedili, Jumaat lalu sudah pun bermula Isnin lalu.

ADUN Sedili, Rasman Ithnain berkata kerja-kerja membaik pulih rumah itu perlu dilakukan segera kerana mengalami kerosakan teruk dengan kos dibiayai Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Baki 352 rumah lagi akan dimulakan kerja-kerja membaik pulih pada minggu depan yang akan dibiayai pihak Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Pejabat Daerah dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

“Ketika ini proses untuk mengetahui kos tersebut sedang dilakukan sebelum dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). Selepas itu kerja-kerja akan dimulakan pada Ogos,” katanya kepada Wacana.my.

Dalam kejadian jam 3 petang Jumaat lalu, hujan lebat dan angin kencang merosakkan 366 rumah terutamanya bahagian atap dan garaj kereta.

Kampung yang terlibat Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Kampung Tanah Putih, Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar selain klinik, balai polis dan sekolah.

Rasman berkata, kerosakan Sekolah Kebangsaan (SK) Sedili Besar pada bahagian bumbung termasuk Perumahan Polis (APR) dalam Balai Polis Kuala Sedili sudahpun siap dibaiki semalam.

Sementara itu, sebuah sekolah agama di kawasan tersebut yang turut rosak akan turut dibaik pulih dalam masa terdekat.

Mengenai program gotong-royong perdana yang dianjurkan pihaknya turut melibatkan kakitangan Pejabat Daerah Kota Tinggi, MDKT, Kejora, Felda, polis, bomba dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berharap penduduk yang ditimpa musibah itu supaya bertenang dan bersabar dengan ujian Allah.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *