Utamakan kerja kebajikan untuk bantu rakyat

JOHOR BAHRU, 31 Julai —- Pemimpin politik diminta mengutamakan kebajikan rakyat dalam urusan harian mereka.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata pihaknya sentiasa mendahulukan rakyat walaupun giat berpolitik demi negara.

“Kerja politik dan kebajikan kedua-duanya penting namun walau apa sekalipun, kita harus mengutamakan kebajikan rakyat dahulu kerana semua pemimpin politik berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Razrul Anwar ditemui ketika agihan bantuan kepada ketua-ketua cawangan dan badan bukan kerajaan sekitar Johor Bahru di Pusat Komuniti Bijak milik Persatuan Kebajikan Bijak Lestari Johor Bahru (Lestari) disini hari ini.

Kerjasama NGO seperti Lestari dengan pemimpin politik tidak seharusnya disalah ertikan sebaliknya jika melihat kepada sudut positif, kerjasama seperti ini akan mengeratkan lagi rakyat dengan pemimpin politik.

“Jangan tunggu musim pilihanraya sahaja untuk turun padang dan berjumpa dengan rakyat, kita seharusnya sentiasa mendekati rakyat dan cakna tentang permasalahan yang dihadapi mereka,” katanya.

Bantuan boleh diserahkan kepada ketua masyarakat, NGO, wakil penduduk bagi mendekati rakyat yang tidak gemar berpolitik.

“Kita harus tetap mendekati mereka walaupun mereka tidak aktif berpolitik, mereka tetap rakyat Malaysia dan jika mereka memerlukan, kita harus bantu mereka,” katanya yang juga pengerusi NGO Lestari.

Lebih 300 bakul makanan diagihkan kepada wakil penduduk sekitar Johor Bahru.

Sumbangan dari NGO Lestari itu adalah hasil kerjasama beberapa NGO lain seperti Kembara Kitchen dan Persatuan Kebajikan Anak Kami di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *