Johor komited tangani masalah pengangguran

ISKANDAR PUTERI, 23 Ogos — Kerajaan negeri komited menangani masalah pengangguran di Johor khususnya melibatkan golongan muda, graduan dan juga penganggur pasif ketika tempoh pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) merangka pelan perancangan serta tindakan proaktif bagi menangani isu tersebut.

Menurut beliau, SMI aktif mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak bagi mendapatkan input serta informasi berkaitan.

“Antara inisiatif dilaksana di bawah Agenda Modal Insan Johor adalah Program Gerak Kerjaya Johor, Program Latihan Kemahiran Johor (MAHIR JOHOR) dan Program Pensijilan Tenaga Mahir.

“Kerajaan negeri dalam tindakan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta melahirkan lebih ramai modal insan mahir dan berdaya saing pasca Covid-19,” katanya.

Mohd. Izhar berkata demikian ketika menjawab soalan S. Gopalakrishnan (PKR-Tiram) berhubung perancangan dan pelan tindakan kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar pengangguran di Johor pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Kota Iskandar, hari ini.

Beliau yang juga ADUN BERSATU Larkin berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk memberi tumpuan kepada sektor industri baharu yang lebih relevan dan praktikal buat masa ini seperti Future Emerging Technology (FET), Internet of Things (IoT) dan juga industri kreatif.

“Tenaga mahir yang dilahirkan daripada sektor berkenaan tidak akan bergantung penuh kepada peluang pekerjaan atau majikan sebaliknya mereka akan mempunyai pilihan alternatif iaitu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Daripada sebuah syarikat atau perniagaan yang ditubuhkan mereka, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail memaklumkan, Program Cari Orang Memerlukan Bantuan (COMB) yang dilaksana kerajaan negeri menerusi Agenda Johor Berkebajikan menyasarkan seramai 10,000 penerima daripada golongan kurang bernasib baik yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor diberi tanggungjawab menyelaraskan COMB dan telah menerima 18,619 permohonan dari seluruh Johor bermula 1 Februari hingga 28 Februari lalu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,265 atau 33.6 peratus permohonan telah dipertimbang untuk kelulusan, 2,471 (13.3 peratus) dalam proses siasatan manakala 9,883 (53.1 peratus) permohonan tidak melepasi syarat kelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Md. Sahruddin Kusni (PKR-Bukit Naning) berhubung pelaksanaan program COMB sama ada ianya sudah mencapai sasaran.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *