BERSATU serahkan kepada Muhyiddin isu TPM dalam Kabinet baharu

SEREMBAN, 26 Ogos — BERSATU menyerahkan kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada perlu untuk parti itu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet baharu yang bakal dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata keputusan tersebut telah diambil dalam mesyuarat MPT baru-baru ini.

“Kami telah putuskan apa juga keputusan dibuat kita hormati dan serahkan kepada presiden parti untuk putuskan sama ada perlu untuk menuntut jawatan nombor dua ataupun tidak.

“Kalau boleh tak mahu beratkan, yang paling penting kita boleh bekerjasama, dan memastikan objektif iaitu untuk kita menangani masalah COVID-19 ini menjadi keutamaan, daripada segi jawatan semua itu, saya ingat tiada masalah, apa juga keputusan kita hormati,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Ziarah Prihatin PN Negeri Sembilan di Pejabat Bersatu Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, menjangkakan komposisi pembahagian jawatan dalam Kabinet mengikut parti dalam kerajaan adalah jauh berbeza dengan barisan Kabinet dalam pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin sebelum ini.

“Saya ingat lebih kurang sama dengan formula sebelum ini, cuma saiz itu bergantung kepada Perdana Menteri. Mungkin ada kementerian-kementerian yang mungkin perlu disusun semula terpulang kepada keperluan, itu kita boleh jangkakan, ada keperluan untuk menyusun semula,” katanya.

Ismail Sabri pagi tadi tiba di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Difahamkan, majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah bagi menyampaikan senarai cadangan barisan Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *