Inisiatif Muhyiddin perlu diteruskan – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Inisiatif program bantuan yang dimulakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diteruskan barisan Kabinet baharu.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan supaya inisiatif program bantuan yang telah dimulakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diteruskan walaupun negara kini sudah bertukar pemimpin serta ahli Kabinetnya.

“Asas yang baik telah dibina oleh Tan Sri Muhyiddin dan kerangka itu wajar menjadi landasan untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, beliau turut mencadangkan agar Kabinet baru ini segera melihat kembali cadangan-cadangan reformasi institusi yang dicadangkan oleh Tan Sri Muhyiddin terdahulu.

“Tanggungjawab yang digalas oleh setiap anggota Kabinet adalah amanah besar dan saya pasti anggota Kabinet yang baru ini akan meneruskan usaha menangani wabak COVID-19, serta menjaga kebajikan rakyat dan membina semula sektor ekonomi.

“Tahniah juga khususnya kepada pemimpin-pemimpin BERSATU yang dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

“BERSATU akan menjadi parti anggota kerajaan yang sentiasa memberi sumbangan-sumbangan konstruktif untuk kebaikan rakyat dan negara, menjulang kedaulatan undang-undang, dan menjaga kebebasan institusi kehakiman dan perundangan,” katanya.

Perdana Menteri ketika mengumumkan barisan Kabinetnya, empat menteri kanan itu adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *