Jika Akta Antilompat Parti tidak digubal, konflik politik akan berpanjangan

JOHOR BAHRU, 30 Ogos — Akta Antilompat Parti perlu digubal bagi mengelakkan situasi politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan wakil rakyat melompat parti hingga kerajaan tumbang berulang lagi selepas PRU-15.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata, sekiranya tidak digubal segera kemelut politik yang sama akan terus berlaku selepas PRU-15 kerana tiada undang-undang menyekat wakil rakyat daripada berbuat demikian.

“Ini bukan sahaja menjadikan kerajaan tidak stabil, malah juga politik menjadi tidak stabil. Akta ini perlu digazetkan segera di Parlimen kerana dalam politik hari ini, kita boleh lihat tiada parti yang dominan.

“Apabila tiada parti yang dominan ini akan mendorong untuk tawar menawar atau membeli wakil rakyat. Kerajaan tidak pernah akan stabil jika ini berterusan segala rancangan untuk negara akan tergendala,” katanya selepas program Agihan Hi Tea Box kepada petugas barisan hadapan sempena Merdeka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mid Valley, SouthKey di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Pesara Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Jemale Paiman; Ketua Srikandi BERSATU Cawangan Taman Abad, Masazlina Bachok dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU Cawangan Majidee Baru, Muhamad Ridzuan Abdullah.

Razrul Anwar mengulas tindakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said membangkitkan mengenai Akta Mencegah Lompat Parti dengan sembilan persoalan dalam satu ciapan menerusi Twitternya pada Sabtu.

Azalina mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau ‘recall election’ perlu dipertimbangkan bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat sewaktu pilihan raya daripada melompat parti.

Mengulas lanjut, Razrul Anwar berkata, semua pihak wajar menyokong akta itu dalam usaha mewujudkan politik yang sihat termasuk untuk menjamin masa depan negara agar tidak terus terjerumus dalam krisis politik berpanjangan.

Beliau percaya, kestabilan politik akan wujud, sekali gus menghentikan amalan lompat parti kerana ketika ini tidak ada undang-undang yang mencegah wakil rakyat melompat parti kerana hak itu dipelihara di bawah Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.

Sementara itu, Masazlina berkata, sebanyak 80 Hi Tea Box diberikan kepada semua petugas hadapan bagi menghargai sumbangan mereka dan juga supaya mereka dapat bekerja dalam keadaan santai dan suasana Hari Kebangsaan.

Muhamad Ridzuan pula berkata, program tersebut akan diteruskan pada masa depan berkemungkinan di PPV lain, sekali gus dapat memberikan motivasi kepada petugas barisan hadapan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *