Pikul amanah dengan jujur dan ikhlas – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Barisan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah jawatan hari ini diharap memberikan tumpuan segera kepada usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Jemaah Menteri juga perlu berusaha menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif di peringkat Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.

“Maka, fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, program vaksinasi yang menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa yang menerima dua dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan dan mencapai sasaran ditetapkan.

“Begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara dengan pandemik ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri susulan pelantikan anggota Kabinet yang terdiri daripada parti-parti komponen PN, hari ini di Istana Negara.

Malah, beliau mengucapkan tahniah kepada barisan Kabinet selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sesungguhnya, pelantikan ini adalah amanah berat yang mesti dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *