Blok pembangkang pun masih ada ketua ‘kitar semula’

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — BERSATU Balik Pulau menafikan dakwaan pembangkang bahawa Kabinet baharu yang dibentuk hanyalah ‘kitaran semula’ Kabinet sebelum ini.

Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau Zolkifly Md Lazim berkata perkara itu tidak patut menjadi isu memandangkan blok pembangkang juga masih ada ketua ‘kitar semula’.

Ini kerana, katanya, perkara itu sudah disepakati bersama pimpinan BERSATU yang diketui Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum Kabinet baharu dibentuk.

“Kalau nak kata Kabinet ini ‘kitar semula’, blok pembangkang pun ada ketua yang masih ‘kitar semula’. Sekarang kita ada tokoh yang layak, yang disukai rakyat, dan yang diterima oleh Malaysia.

“Kalau lain tokoh yang diberi, mesti Malaysia takkan berada aman, Parlimen pun kalau bersidang boleh jadi kelam kabut.

“Inilah tokoh yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin, memang BERSATU bersetuju untuk bersama-sama dengan PM baharu untuk negara terus aman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Kerusi Panas bertajuk ‘Keluarga Malaysia: Rumah sudah, pahat masih berbunyi’ yang disiarkan secara langsung di Wacana.my malam tadi.

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Kabinet baharu ini tidak membawa perubahan diharapkan rakyat.

Anwar mendakwa, kebanyakan rakyat hampa dengan barisan Kabinet itu yang dikatakan tidak menunjukkan keupayaan dalam menyelesaikan masalah mereka sebelum ini.

Mengulas lanjut, Zolkifly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang berkata walau apa pun gelaran yang diberi berhubung pembentukan Kabinet, itulah tokoh yang sama membawa Malaysia keluar daripada kemelut COVID-19.

Jelasnya, Ismail Sabri dianggap sebagai perantara Muhyiddin sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, bagi menerangkan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan COVID-19.

“Kabinet yang sama, nak nama Perikatan Nasional, nak nama Keluarga Malaysia, itulah orang yang sama yang akan membawa Malaysia.

“Ismail Sabri adalah jurucakap kepada Muhyiddin sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, menerangkan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan COVID-19.

Hari ini dilaksanakan apa yang beliau bercakap dulu, apa yang disampaikan dan dikemukakan kepada rakyat supaya rakyat dapat terima Malaysia yang bergerak bersama mereka,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *