MA63: Sabah harap tuntutan diambil kira dalam RUU pinda Perlembagaan

TUARAN, 24 Okt  — Kerajaan Sabah berharap segala kehendak dan tuntutan negeri itu yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), diambil kira dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan selaras MA63 pada sidang Parlimen dijadual bermula esok.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah, telah memberi pandangan berhubung isu kedudukan dan tuntutan hak-hak Sabah selaras MA63 dalam Mesyuarat Khas diadakan pada 18 Okt lepas, justeru beliau berharap ia dapat direalisasikan.

“Kita mengadakan Mesyuarat Khas MA63 dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) minggu lepas dan beberapa cadangan pindaan dalam Perlembagaan negara kita akan dibuat. Saya dimaklumkan ia akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kita telah memberi pandangan (pada Mesyuarat Khas MA63) bagi pihak kerajaan Sabah dan begitu juga kerajaan Sarawak. Jadi, harapan kita seperti mana yang dikehendaki dan dituntut oleh Sabah dan Sarawak akan dipinda dalam sidang Parlimen yang akan bermula esok,” katanya pemberita di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wan Junaidi yang memaklumkan bahawa, kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan MA63 di Parlimen, Selasa depan.

Semalam, Wan Junaidi dalam kenyataan tersebut bagaimanapun berkata bacaan kali kedua RUU itu akan dijadualkan semula ke tarikh lain daripada rancangan awal pada 28 Okt, bagi membolehkan Peguam Negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet, mengenai perkara itu.

Terdahulu, Hajiji merasmikan Karnival Kerjaya ‘Urban Poor’ peringkat negeri anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah, yang menawarkan lebih 1,000 kekosongan jawatan dengan 15 majikan mengambil bahagian dalam program temuduga sempena karnival itu.

Mengenai program itu, Hajiji berkata inisitiaf itu dapat membantu golongan rentan bandar dan B40 menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan penempatan kerja, termasuk kepada belia lepasan sekolah, graduan mahupun pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama antara kerajaan Sabah dan Perkeso Sabah juga berjaya membantu 4,864 orang memperoleh pekerjaan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus berupaya membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

“Ini satu langkah amat baik dalam proses negara memulihkan dan merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya, sambil menambah Perkeso Sabah telah menganjurkan 307 aktiviti temuduga dengan kerjasama pelbagai industri dan majikan dalam tempoh pandemik COVID-19.

Sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Perkeso Sabah juga menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri bagi membantu menstabilkan dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktiviti perkhidmatan pekerjaan dilaksanakan secara berterusan, katanya.

 

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *