Mamat Khalid ibarat abang – Ahmad Faizal

IPOH, 24 Okt — Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan pemergian penerbit dan pengarah tersohor, Mamat Khalid tengah malam tadi sebagai satu kehilangan yang cukup menyedihkan baginya.

Menurut beliau, Allahyarham telah dianggap sebagai abang sendiri tambahan lagi mereka membesar bersama-sama di Kampung Sungai Rokam.

“Saya berasa dukacita dan sedih menerima perkhabaran kematian Allahyarham yang sudah dianggap seperti abang sendiri.

“Kami membesar di Kampung Sungai Rokam dan saya sendiri amat rapat dengan kekuarga beliau termasuk isterinya.

“Pemergian beliau bukan sahaja kehilangan besar buat negara dan industri perfileman bahkan kepada saya secara peribadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Senamrobik Perdana Trofi Peja 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi di sini hari ini.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham sebelum itu pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham yang juga adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Lat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh di sini.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *