Tarik sokongan terhadap PM tidak pernah dibincangkan – Ahmad Faizal

IPOH, 24 Okt — BERSATU tidak pernah membincangkan isu berkaitan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan keputusan UMNO bertanding sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, tiada sebab isu itu perlu dibincangkan kerana pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

“Tidak terfikir dan terlintas pun di fikiran kami (menarik sokongan) kerana kita nampak kerajaan kini berjalan dengan baik dan gagasan Keluarga Malaysia juga sedang diusahakan dengan meriah.

“Ini termasuklah semarak Hari Sukan Negara dan pelancaran Keluarga Malaysia semalam. Kita boleh lihat semuanya berjalan dengan baik. Insya-Allah kita akan teruskan dan mohon Allah permudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Senamrobik Perdana Trofi Peja 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, BERSATU dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) komited mengekalkan kerjasama bagi memastikan undi orang Melayu pada PRN Melaka tidak berpecah.

Ahmad Faizal berpandangan, mana-mana pihak yang berhasrat memecahkan undi orang Melayu mempunyai niat yang tidak baik.

“Saya tidak pasti, sama ada keputusan (UMNO bertanding solo) akan merencatkan peluang parti itu (dalam PRN Melaka), tetapi saya juga tidak mahu bercakap tentang parti orang lain.

“Bagi kami di dalam BERSATU dan PN, kami komited untuk bersama dalam memastikan undi orang Melayu tidak pecah dan penubuhan kerajaan Melaka yang baharu ditadbir oleh mereka yang benar-benar mahu memberikan khidmat kepada rakyat, bukan oleh mereka yang mementingkan kepentingan kumpulan atau diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas sama ada pihaknya masih membuka rundingan kerjasama dengan UMNO, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, PN sentiasa membuka ruang kerjasama dengan semua pihak.

“Seperti yang telah disebut oleh Presiden BERSATU dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita memang mahu bekerjasama dengan semua pihak yang mahu bangunkan negara dan ada niat melakukan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

“Bagaimanapun, itu semua terpulang kepada mereka yang mahu bekerjasama dengan kita,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *