CHUKAI 5 Mei – Dengan sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, pelbagai persiapan dilakukan oleh umat Islam, namun masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan menghadapi bermacam-macam kekurangan.
Ini tidak terkecuali golongan asnaf termasuk anak-anak yatim.
Menyedari keperluan asnaf dan anak-anak yatim itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kemaman menggorak langkah menyantuni serta menghulurkan sumbangan kepada golongan terbabit.
Keprihatinan BERSATU bahagian itu bagi membolehkan golongan terbabit membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri.
BERSATU Bahagian Kemaman berpandangan bahawa keperluan golongan asnaf dan anak-anak yatim itu perlu diutamakan berbanding keperluan mana-mana ahli-ahli parti sendiri yang lebih bernasib baik.
“Dalam hal ini, BERSATU bahagian telah mengenal pasti golongan asnaf serta anak-anak yatim terbabit dengan menyampaikan duti raya, selain meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa.
“Dalam program tersebut, sebanyak 100 anak-anak yatim diberikan duit raya dan mereka ini adalah dari keluarga asnaf,” kata Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Kemaman, Mohd. Noor Maat Ail.
Program itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kemaman, Zawawi Ahmad yang berkesempatan serta beramah mesra dengan anak-anak yatim berkenaan.
Program tersebut anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Nur Kasih Kemaman dengan Zawawi sebagai penaung.
Mohd. Noor yang juga Pengerusi Nur Kasih Kemaman berkata, pihaknya akan terus membantu golongan kurang bernasib baik terutama menjelangnya Aidilfitri yang semakin hampir.
“Harapan kita, mereka yang dibantu ini dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh bermakna dan meriah seperti juga orang lain,” katanya.