Jangan lagakan pihak Istana dan kerajaan, Armada Selangor tegur Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Armada BERSATU Selangor mengingatkan kepada Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak bersikap mengadu domba dan melaga-lagakan antara pihak Istana dan kerajaan.

Ketuanya Haszrilhafizi Mohayan berkata beliau tidak sepatutnya membuat perkara kurang cerdik dengan mengajak rakyat berdiskusi di media sosial bagi menghuraikan perkara-perkara yang beliau sendiri bukan ahli bertujuan untuk mengejar populariti semata-mata.

“UMNO harus membuang sikap menangguk di air keruh.

“Beliau diingatkan supaya tidak mengeruhkan keadaan kedua-dua belah pihak. Dengan keadaan negara yang dilanda musibah ini, beliau seharusnya bersama-sama watak di dalam Perikatan Nasional berganding bahu kerana beliau juga berada di dalam parti yang membentuk kerajaan.

“Walau apa jua keadaan politik semasa, kebajikan rakyat perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, Armada akan terus menghormati, menjunjung dan memelihara sistem Raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara di samping teguh di barisan Perikatan Nasional (PN).

Haszrilhafizi mengulas desakan Asyraf Wajdi yang mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera kerana melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Pemuda UMNO mendesak Ahli Parlimen parti itu menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu, untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *