‘Tangguhkan sidang DUN Johor susulan kes COVID-19 meningkat’

JOHOR BAHRU, 2 Ogos — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh mencadangkan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 12 Ogos ini ditangguhkan susulan kes positif COVID-19 yang tinggi di negeri ini.

Menurutnya, perkembangan semasa menunjukkan persidangan DUN perlu ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang sesuai dan selamat.

“Penangguhan adalah langkah terbaik bagi mengelak peningkatan kes termasuk mengelak mencetuskan kluster baharu.

“Tambahan pula Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk berangkat bagi merasmikan sidang DUN Johor yang dibimbangi akan membahayakan baginda dan semua yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada 78 ahli Persatuan Anak-anak Perantau Johor di Pasar Muafakat Sabah, Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Pada hari ini, Johor merekodkan 1,222 kes positif COVID-19 berbanding 1,045 kes semalam.

Sementara itu, Che Zakaria mengecam penganjuran himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, kelmarin kerana dilakukan dalam keadaan tidak sesuai selain membuang masa.

Beliau kesal kerana peserta diperalatkan oleh pihak berkepentingan, malah membahayakan nyawa mereka sendiri apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP), iaitu tidak melakukan penjarakan sosial dan bersesak-sesak.

“Apa yang kita dapat dengan buat demonstrasi seperti ini? Kita harap anak muda jangan terpengaruh dengan dengan mana-mana pihak untuk berdemonstrasi,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *