Sabah berpotensi besar dalam kerjasama rentas sempadan BIMP-EAGA

KOTA KINABALU, 23 Ogos — Sabah mempunyai banyak potensi dalam kerjasama rentas sempadan meliputi sektor-sektor ekonomi utama yang telah dikenal pasti oleh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, sektor terbabit adalah pengangkutan, tenaga dan kesalinghubungannya, perdagangan dan pelaburan, teknologi maklumat dan komunikasi, agroindustri dan perikanan, pelancongan, alam sekitar selain sosiobudaya dan pendidikan.

“Ini amat sesuai dengan hala tuju strategik kerajaan menerusi pelan pembangunan lima tahun bermula 2021 — Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilancarkan pada awal tahun ini

“Tiga teras utama SMJ adalah pertanian, industri dan pelancongan yang menumpukan pertumbuhan ekonomi seperti modal insan, kesejahteraan rakyat dan infrastruktur hijau,” katanya ketika berucap pada majlis Persidangan dan Pameran Tenaga BIMP-EAGA (BECE) secara maya yang julung kali diadakan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Utusan Khas Sabah ke BIMP-EAGA Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurut Hajiji, tema persidangan kali ini iaitu ‘BIMP-EAGA Energy Sector – Opportunities and Challenges’ (Sektor Tenaga BIMP-EAGA : Peluang dan Cabaran) diketengahkan bagi berkongsi dengan penggiat industri mengenai cabaran dihadapi industri minyak dan gas serta perkembangan terbaharu industri infrastruktur dan penjanaan tenaga.

Beliau juga yakin BIMP-EAGA dapat melonjakkan pembangunan ekonomi, meningkatkan daya saing eksport serta tarikan rantau itu untuk kalangan pelabur tempatan dan asing di masa depan.

Menurutnya, hala tuju pembangunan BIMP-EAGA sehingga 2025 itu adalah berpandukan teras strategi jangka panjang bagi mempertingkat kesalinghubungan dalam serta di luar BIMP-EAGA selain menjadikan rantau kecil itu sebagai sumber bekalan makanan di ASEAN dan kawasan lain di Asia.

BIMP-EAGA turut mempromosikan rantau terbabit sebagai destinasi pelancongan utama, memastikan aspek pengurusan sumber asli secara mampan dan menggalakkan kesalinghubungan sesama rakyat menerusi sosiobudaya serta pendidikan, kata Hajiji.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *