Jasa, pengorbanan Tun Sakaran amat besar – Hajiji

KOTA KINABALU, 30 Ogos — Sabah kehilangan seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa berikutan pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, akibat jangkitan COVID-19 pagi tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jasa dan pengorbanan Allahyarham amat signifikan dan besar maknanya kepada Sabah dan negara.

Beliau berkata, legasi perjuangan Sakaran terpahat kukuh dalam sejarah Sabah dan dikenang rakyat negeri ini selama-lamanya.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Sakaran, bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Datin Seri Panglima Siti Rukaiyah Abdullah.

“Jasa Tun kepada Sabah amat besar, moga rohnya dicucuri rahmat.

“Tun Sakaran adalah seorang tokoh yang sangat berjasa khususnya bagi Sabah. Jasa dan sumbangan Allahyarham sama ada dalam politik, pentadbiran dan agama amat besar nilai dan maknanya untuk negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, Sakaran adalah pemimpin politik yang berpengaruh di negeri ini dan berharap seluruh keluarga besar Allahyarham sabar menghadapi dugaan itu.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *