PUTRAJAYA, 2 Sept — Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) yang baharu, Datuk Zuraida Kamaruddin mahu mengguna pakai ekonomi sirkular dalam kementeriannya, dengan fokus ke arah pengeluaran serta kitar semula sisa komoditi untuk menjadi produk yang boleh dipasarkan.
“Ini adalah sesuatu yang relevan dengan pengalaman saya semasa di kementerian lama (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dalam pengurusan sampah, jadi saya ingin bekerjasama dengan kementerian itu,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan tugas daripada bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Rabu.
Beliau turut melahirkan hasrat untuk menjana lebih banyak pendapatan kepada negara melalui usaha kitar semula produk sisa, khususnya daripada biojisim kelapa sawit.
Zuraida juga mahu meningkatkan produktiviti komoditi seperti minyak sawit, getah, koko, lada dan memberi tumpuan lebih kepada kelestarian tanaman ini serta pada masa yang sama mengurangkan pembaziran dan berhati-hati dalam pengurusan.
Kementerian tersebut pada masa ini menyumbang sekitar 12 peratus atau hampir RM100 bilion kepada pendapatan negara.
“Ini memberikan sedikit cabaran tetapi saya akan memikul tugas ini terutama ketika negara sedang berhadapan dengan COVID-19,” katanya.
Zuraida ketika mengulas mengenai masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh industri susulan wabak berkenaan menjelaskan beliau menyedari isu tersebut, oleh itu ia akan menjadi antara teras utama yang akan diberi tumpuan.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau memberitahu disebabkan kekurangan tenaga kerja, industri telah terjejas oleh pembaziran sebanyak 20 peratus sehingga menyebabkan negara rugi beberapa juta ringgit.
Akhir sekali, beliau merancang untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).
“Kami tidak mempunyai pilihan selain untuk bersaing secara sihat. Ini adalah isu antarabangsa yang harus dibuat terus-menerus untuk meyakinkan pengguna EU dan Eropah mengenai faedah minyak sawit.
“Saya sangat berharap bahawa bersama dengan mereka yang ada di kementerian, kami akan dapat bekerja keras untuk menjadikan MPIC sebagai kementerian yang dinamis sehingga dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan ekonomi. Saya juga berharap dapat mencapai kemajuan positif dalam 100 hari saya sebagai menteri,” katanya.Zuraida mahu perkenal ekonomi sirkular dalam kementerian baharunya