KUALA LUMPUR – Setelah membuktikan hampir 35,000 penerima faedah berjaya dalam bidang masing-masing sejak penubuhannya pada 2012, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) terus mengorak langkah bagi merealisasikan matlamatnya sebagai sebuah agensi harapan kepada Bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Muzzammil Ismail berkata, matlamat tersebut mampu dicapai memandangkan Yayasan Peneraju sudah meraih pelbagai kejayaan sepanjang lapan tahun penubuhannya.
“Hari ini Yayasan Peneraju telah berjaya meletakkan dirinya sebagai sebuah agensi harapan kepada Bumiputera kerana kita merupakan agensi yang berani menawarkan kursus yang tidak ditawarkan oleh mana-mana pihak. Amnya, kebanyakan agensi lain menawarkan kursus di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Tetapi kita di Yayasan Peneraju menawarkan program hybrid yang bukan sahaja memberi tumpuan untuk melahirkan ‘cream of the cream’ atau yang terbaik dari kalangan cerdik pandai, malah kita juga ingin memastikan mereka yang bermula dari peringkat bawah akan turut dibimbing dan dibangunkan menjadi ‘cream of the cream’ pada masa akan datang.
“Inilah keistimewaan Yayasan Peneraju iaitu melahirkan bakat Bumiputera yang berpotensi tinggi dan berdaya saing terutama dalam bidang berpendapatan tinggi. Sebagai contoh, kami telah berjaya membiayai hampir 5,000 penerima faedah Bumiputera di bawah teras Peneraju Profesional (Perakaunan) seperti ACCA, MICPA-CAANZ dan lain-lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama MalaysiaGazette.
Muzzammil berkata, ekoran jumlah penerima faedah yang semakin bertambah terutamanya dalam bidang pensijilan profesional (Perakaunan), Yayasan Peneraju boleh dikatakan sebagai sebuah ‘kilang’ dalam melahirkan seramai mungkin akauntan bertauliah Bumiputera.
“Sasaran kita adalah untuk melahirkan seramai 15,000 akauntan bertauliah menjelang 2030 selari dengan agenda Pemerkasaan Bumiputera”.
“Selain daripada itu, Yayasan Peneraju juga ingin memastikan generasi belia Bumiputera yang berkemahiran mampu dilahirkan seramai yang mungkin. Oleh yang demikian, kami memberi tumpuan kepada pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kursus kemahiran dalam industri kritikal untuk jangka masa antara tiga hingga enam bulan bagi mempertingkatkan kemahiran golongan belia ini.
“Dengan kemahiran sedia ada, mungkin selama ini pendapatan mereka antara RM1,000 hingga RM2,000 sahaja. Tetapi, apabila kemahiran mereka telah dipertingkatkan, mereka akan menjadi tenaga mahir dan mampu meraih pendapatan yang lebih tinggi mencecah antara RM3,000 hingga RM10,000,” ulas Muzzammil lagi.