Semua badan perlesenan boleh beri cadangan berkenaan royalti

KUALA LUMPUR: Sejak dua minggu lalu, isu agihan royalti karyawan seni dan artis menjadi topik hangat dalam laman sembang.

Sejurus Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendakwa apa yang dikatakan kepincangan badan pelesenan pemungut royalti, apatah lagi aduan dikemukakan persatuan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), peminat mula mendasari isu yang membelenggu industri seni ini.

Lumrah setiap kali timbulnya isu dalam kalangan penggiat seni, kritikan, pandangan, tidak kurang tuding-menuding mula kedengaran di sana-sini.

Sudah pasti, dalam mencari penyelesaian, semua pihak berkepentingan perlu duduk semeja berbincang mencari kaedah terbaik mengelak sistem pungutan dan agihan royalti mencetuskan kontroversi lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata, bagi menyelesaikan kemelut isu kutipan dan bayaran royalti hak cipta lagu penggiat industri muzik yang belum berkesudahan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan mengadakan mesyuarat membabitkan pihak berkepentingan, dalam masa terdekat.

“Setiap pihak berkepentingan akan diberi ruang melontar suara berkongsi pandangan dan cadangan penyelesaian yang difikirkan terbaik, seterusnya memuktamadkan penyelesaian polemik ini.

“Saya ingin memaklumkan walaupun MyIPO tidak terbabit secara langsung dalam permasalahan ini, namun, sebagai badan perantara atau ‘orang tengah’, MyIPO sudah dan akan terus menjalankan peranan sebagai pemudah cara.

“Perbadanan itu akan membantu merungkai kemelut yang menyebabkan isu ini berlarutan sekian lama dan masih belum berjaya diselesaikan sehingga kini,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, industri seni kecoh apabila Freddie mendakwa Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid gagal menjalankan tugas dalam mengagihkan royalti ahli RPM.

Kemelut itu semakin memuncak apabila SPRM campur tangan dengan menyiasat tiga badan kutipan royalti iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan RPM.

Operasi dibuat berdasarkan laporan dikemukakan Freddie yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu.

Rosol berkata, bagi pihak MyIPO, isu royalti boleh menemui jalan penamat jika semua pihak terutama pengemudi badan kutipan dan bayaran royalti memberi kerjasama baik dan mencapai kata sepakat.

“Peka dengan situasi semasa, kami di MyIPO juga memahami masalah dilalui segelintir pemain industri muzik tempatan yang terjejas dan kehilangan punca pendapatan kesan pandemik COVID-19.

“Justeru, MyIPO berharap pihak terbabit dapat memberi kerjasama baik untuk menamatkan polemik ini di mana penyanyi serta pemuzik segera kembali mendapat hak dan manfaat daripada bayaran royalti yang tertangguh,” katanya.

Rosol menegaskan, MyIPO tidak mempunyai kepentingan dalam isu royalti.

Tambahnya, sudah menjadi matlamat badan itu untuk memastikan permasalahan ini menemui titik noktah dan bayaran royalti dapat diagihkan kepada penerima yang layak mengikut tempoh yang dipersetujui sebelum ini iaitu, bulan ini.

“Tuduhan segelintir pihak bahawa MyIPO berdiam diri dalam isu kemelut ini juga adalah sama sekali tidak benar.

“Hakikatnya, MyIPO tetap menjalankan peranan sebagai ‘orang tengah’ untuk mendamaikan pihak terbabit dan merumuskan penyelesaian.

“Ini bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Sebaliknya, menuntut semua pihak berlapang dada dan bersatu hati dan mengetepikan kepentingan diri untuk mengakhiri isu ini dengan penyelesaian yang memberi manfaat kepada setiap yang terbabit.

“Secara peribadi, saya percaya, penggiat muzik tempatan juga mahu industri ini terus berkembang maju dan isu sebegini perlu ditangani segera bagi mencapai matlamat itu,” katanya.

Rosol berkata, MyIPO sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu selepas beberapa badan kutipan royalti tempatan diserbu, sebelum ini.

 

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *