UMNO Perlis Sokong Muhyiddin Sebagai PM

KANGAR, 5 Jan – Badan Perhubungan UMNO Perlis tetap berpegang kepada konsep `No DAP, No Anwar’, bekerjasama dengan PAS melalui pemerkasaan Muafakat Nasional (MN) dan menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri) sehingga pilihan raya.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, UMNO akan membuka ruang kerjasama dengan Perikanan Nasional (PN) yang dianggotai oleh BERSATU, PAS dan beberapa parti lain.

Menurutnya, jika UMNO tidak membuka ruang kerjasama dengan PN akan menyebabkan berlaku perpecahan undi terutamanya daripada kalangan orang Melayu dan Bumiputera serta memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) yang didokong Anwar dan DAP untuk menguasai semula pemerintahan negara.

“Kita patut mengambil pengajaran daripada pemerintahan PH selama 22 bulan di mana kita dan rakyat menghadapi kesukaran serta pelbagai masalah terutamanya dari segi ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Jabatan Penerangan BERSATU.

Jelasnya, UMNO Perlis tidak menghadapi sebarang masalah untuk bekerjasama dengan PN demi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Shahidan juga menggesa UMNO bahagian di seluruh negara mencontohi UMNO Perlis untuk terus membuka ruang kerjasama dengan PN.

“UMNO Perlis tidak mengamalkan dasar pintu tertutup sebaliknya membuka ruang kerjasama dengan mana-mana parti politik Melayu dan Bumiputera.

“Kita patut amalkan politik matang dengan tidak memusuhi mana-mana pihak dan pada masa sama meramaikan kawan tidak kira daripada mana-mana parti,” katanya merujuk kepada kerjasama berterusan antara UMNO dan PN.

 

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *