Oleh Serayu Suria
KUALA LUMPUR 8 Jan.– PEMUDA Perikatan Nasional (PN) hari ini menggerakkan fasa kedua misi kemanusiaan ke Pantai Timur yang teruk dilanda banjir.
Fokus utama misi kali ini adalah di beberapa kawasan dalam negeri Pahang.
Wakil Penerangan ARMADA Nasional dalam sebuah kenyataan hari ini berkata, misi bantuan banjir kali ini diterajui Ketua ARMADA Nasional, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal.
Wan Ahmad Fayshal yang juga Timbalan Ketua 1 Pemuda PN telah memulakan perjalanan sejak awal pagi hari ini (8 Januari 2021) sekitar jam 6.30 pagi bersama sukarelawan Pemuda PN.
“Sukarelawan Pemuda Perikatan Nasional terdiri daripada sukarelawan dari Perak dan Negeri Sembilan yang datang khusus bagi menjayakan misi kemanusiaan ini,” katanya.
Sebanyak 20 kereta pacuan empat roda melibatkan seramai kira-kira 80 orang sukarelawan mengambil bahagian dalam misi kali ini.
Misi ini dikelolakan oleh Ketua ARMADA Negeri Pahang, Nurul Qomar dengan kerjasama Exco Kebajikan ARMADA Nasional, Firdaus Rashid dan turut dibantu beberapa entiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkasakan kekuatan.
Setakat jam 3 petang hari ini, sukarelawan Pemuda PN telah turun ke beberapa kawasan di Raub dan Kuala Lipis serta membantu kerja-kerja mengangkat barang, membersihkan rumah.
“Mereka turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya.
Di Kuala Lipis, pasukan sukarelawan telah meluangkan masa membuat kerja-kerja gotong-royong pembersihan di SMK Benta dan membantu membersihkan surau sekolah yang terjejas teruk.
Turut terkesan SMK Setiawangsa (K. Lipis).
Sukarelawan Pemuda PN sempat berkunjung ke pusat pemindahan sementara dan menyampaikan bantuan sumbangan di Taman Emas, Kuala Lipis.
Selain Raub dan Kuala Lipis, pasukan sukarelawan tersebut turut ke Jerantut bagi membantu beberapa buah kawasan penempatan terjejas dan bakal menamatkan misi bantuan di Temerloh.
Menurut kenyataan tersebut, sebahagian sukarelawan akan kekal di beberapa kawasan di Raub dan Kuala Lipis bagi meneruskan misi di beberapa kawasan di sana.
Pemuda PN yang terdiri daripada ahli Dewan Pemuda Pas dan ARMADA BERSATU telah turun padang membantu mangsa terlibat bencana sejak dari awal berlakunya banjir.
Pada misi fasa pertama bantuan melibatkan beberapa kawasan di Kelantan dan Ketua ARMADA Nasional juga turut membantu di lapangan dalam koordinasi misi bantuan sebelum ini begitu juga kepemimpinan komponen Pemuda PN yang lain.
ARMADA di kawasan-kawasan yang terlibat banjir turut mengambil langkah tindakan cepat di kawasan masing-masing dengan memberi kerjasama kepada pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan urusan masyarakat setempat ke pusat-pusat pemindahan.
Semoga segala urusan rakyat dipermudah dan Pemuda PN komited untuk berkhidmat demi masyarakat dan negara.