‘KLUSTER MAHKAMAH’ MENGGAGALKAN PENYATUAN UMMAH

1) Gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan PN oleh beberapa pemimpin UMNO “kluster mahkamah” ini mula dilihat jelas setelah Najib dijatuhi hukuman bersalah atas 7 pertuduhan berhubung dana RM42 juta SRC International yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

2) Dari situ reaksi awal Presiden UMNO serta kenyataan kurang ajar ahli MKT UMNO Puad Zarkashi di media terbuka seakan-akan mahu menyalahkan Perdana Menteri atas apa yang terjadi.

3) Umum tahu Parti BERSATU sendiri tidak akan wujud jika TS Muhyiddin Yassin tidak dipecat dari UMNO. Seperti yang diterangkan oleh Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa kepada Mahkamah Tinggi pada November 2019, pemecatan TS Muhyiddin jelas kerana beliau lantang mempersoalkan keterlibatan Najib dalam korupsi bisnes 1MDB yang menggunakan wang negara.

4) Kini satu dunia tahu bahawa mahkamah negara ini yang diketahui bebas dari campurtangan politik telah menjatuhkam hukuman terhadap Najib. Maka apa yang diperjuangkan oleh TS Muhyiddin sebelum beliau dipecat dari UMNO dahulu adalah benar dan sahih.

5) Oleh kerana itu, rakyat sedar bahawa kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sesekali berkompromi dengan kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang sedang dibicarakan walaupun melibatkan watak-watak tertentu dari UMNO dan DAP (Lim Guan Eng).

6) Ketegasan sebeginilah yang mendatangkan rasa tidak puas hati sekelompok manusia dalam UMNO yang selama ini mungkin kebal dari tindakan undang-undang.

7) Ia dizahirkan dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dalam satu sesi temubual baru-baru ini yang mengakui bahawa kes-kes mahkamah terhadap mereka antara punca utama penolakan mereka terhadap PN.

8) Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan pula sebelum mengumumkan penarikan sokongan terhadap Kerajaan PN, beliau mengakui dalam media bahawa UMNO dibawa ke jalan mati. Soalnya siapa yang pandu UMNO ke jalan mati jika bukan beberapa pemimpin mereka yang korup dan khianat amanah rakyat ketika berkuasa dulu?

9) Adalah jelas kini kluster mahkamah serta para penyokong mereka dalam UMNO tidak menghiraukan nasihat YDP Agong ketika merasmikan sidang parlimen hujung tahun lepas agar kurangkan berpolitik dan fokus bantu rakyat serta negara.

10) Malah kelompok kluster mahkamah UMNO tersebut serta “warlords” politik tua yang tak sudah-sudah mahu menjatuhkan Kerajaan PN, tidak pernah menghiraukan nasihat rakan mereka PAS dalam Muafakat Nasional apatah lagi suara-suara rakyat marhaen luar sana yang sudah menyampah dengan drama gila kuasa dari ahli-ahli politik yang terdesak itu.

-Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
9 Januari 2021

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *