SEREMBAN 16 Jan. – Mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli dan penduduk setempat menjadi antara agenda penting Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, malah langkah itu kini dipergiatkan lagi.
Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sembilan, Fazly Hamid berkata, sehubungan itu pihaknya dari semasa ke semasa akan menganjurkan program ziarah dan bacaan Yasin mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jelasnya, setiap program itu bukan sahaja melibatkan penyertaan ahli-ahli BERSATU, malah penduduk setempat juga.
“Sebelum PKP kita telah menganjurkan program ziarah dan bacaan Yasin di kawasan DUN Sikamat pada 26 Disember lalu dan 1 Januari lalu di mana melibatkan penyertaan kira-kira 30 orang.
“Sebelum ini pun ada beberapa program yang sama telah dianjurkan dan kita berpuas hati kerana langkah itu berjaya mengeratkan silaturrahim ahli-ahli dan penduduk setempat,” katanya.
Menurutnya, program sedemikian akan bergerak dari satu DUN ke DUN lain dalam kawasan Negeri Sembilan.