Politik membawa pelbagai maksud dan tafsiran kepada kelompok yang berbeza. Kesemuanya berkait rapat dengan soal kuasa, kehidupan dan keselamatan umat manusia di sesebuah negara.
Segolongan pakar keselamatan mendefinisikan politik sebagai usaha menguruskan kelompok besar manusia di sesebuah negara, kehidupan dan kesejahteraannya.
Ini seiring dengan maksud serta matlamat perjuangan politik oleh majoriti peribumi Malaysia di ambang merdeka dan di zaman awal kemerdekaan negara. Mereka mentakrifkan politik sebagai perjuangan mendapatkan kuasa untuk kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Namun Malaysia ketika ini sedang menyaksikan pelbagai babak dan karenah perjuangan politik peribumi. Golongan peribumi arus perdana menumpu kepada perjuangan politik untuk memperkasakan agama, bangsa dan tanah air, di Malaysia yang majmuk.
Satu lagi kelompok peribumi terlalu ghairah menggerakkan kuasa politik mereka untuk meruntuhkan perjuangan peribumi arus perdana atas dorongan nawaitu peribadi.
Kuasa politik akar umbinya diibaratkan daun keladi untuk menudung bangkai gajah yang bergelempangan mencemari alam. Akibatnya, perjuangan mereka untuk peribumi selaku 69.9 peratus warganegara Malaysia luntur dan layu.
Ia jadi kelam, kusam dan berbalam, digerhanai kelompok 22.6 peratus, dan jadi longlai digegarkan suara golongan 6.9 peratus.
Kuasa politik peribumi yang unggul dan gagah sejak merdeka runtuh akibat rasuah dan salah guna kuasa yang dikatakan membarah di jiwa segelintir pemimpin tertingginya.
Mereka gagal mengambil iktibar daripada kemelut politik negara yang membuktikan kuasa politik pribumi sudah punah kerana rasuah. Mereka kurang bijak untuk menginsafi bahawa kuasa politik nasional yang meminggirkan kepentingan peribumi selaku kumpulan 69.9 peratus di Malaysia juga sudah tumbang menyembah tanah.
Hakikatnya sekarang, kuasa politik peribumi yang sudah ranap dalam PRU-14 sukar untuk dibaiki dan susah untuk dipulihkan jika pribumi terus berbalah, berpecah dan memuja perasuah.
Namun perjuangan peribumi boleh diperkasakan semula jika kita bersatu dan berganding bahu secara ikhlas dan jujur untuk membina satu kekuatan baharu. Syaratnya, jangan melatah, jangan gelabah dan jangan jadi seolah-olah lembu dicocok hidung yang akur untuk diheret oleh penggembala yang sudah tewas dan berlumuran lumpur di sekujur jasadnya.
Menjelang PRU-15 ini, ayuh kita bangkit dengan semangat, roh dan jiwa peribumi untuk menebus maruah kita yang sudah diinjak-injak pelbagai pihak, termasuk mereka yang didalangi dan dikuasai makhluk ghaib dari pelosok jagat.
Kita humbankan segala sengketa. Kita musnahkan seluruh hasad dengki yang bertakhta di sanubari. Kita laungkan ikrar perjuangan peribumi yang baharu, senada dan seirama, untuk membela diri kita sendiri, selaku warganegara yang 69.9 peratus jumlahnya, di bumi Malaysia tercinta ini.
Kita mesti insaf, keselamatan politik peribumi adalah mengenai kestabilan organisasi negara kita, sistem pemerintahan kita, dan ideologi yang mengabsahkan wujudnya tanah air kita. Lantas, peribumi ketika ini, mesti berjuang untuk peribumi. Kita mesti jaga kita, mesti pertahankan keselamatan politik kita, dan mesti bela masa depan kita bersama.
[Datuk Dr Ruhanie Ahmad, adalah penganalisis keselamatan dan pertahanan nasional, dan mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, 1990-2004]