KUALA LUMPUR 19 Jan. – Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat terus komited menangani masalah rakyat dan negara walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, setelah negara diletakkan dalam keadaan darurat melalui proklamasi (titah) Yang di-Pertuan Agong, satu demi satu langkah memperkasakan tahap keselamatan, kesihatan dan ekonomi rakyat sedang dilaksanakan kerajaan Malaysia.
Katanya, hanya pihak pembangkang serta segelintir mereka yang terhasut sahaja cuba menimbulkan provokasi terhadap usaha pemulihan negara ini.
”Kita sedang berperang dengan Covid-19 dan ada rakyat kita yang masih belum pulih dari bencana banjir besar yang melanda di beberapa buah negeri.
”Bagi mereka yang faham situasi global dunia, tiada satu pun negara di dunia ini yang tidak terkesan dengan impak dari wabak Covid-19 serta kemelesatan ekonomi dunia akibat darinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada tongkat sakti atau kuasa magis untuk memulihkan situasi semua pihak dalam sekelip mata.
”Tidak semua orang dalam negara ini mampu dipuaskan hati mereka.
”Namun kesungguhan kerajaan dengan menyediakan bajet amat besar menjadi bukti bahawa rakyat sentiasa dibela,” katanga.
Malah katanya, usaha kerajaan juga dibuktikan melalui tekad kepemimpinan negara untuk terus berfikir, berusaha dan mencari jalan bagi mensejahterakan rakyat.
”Dari Istana Negara hingga ke Jemaah Menteri dan seterusnya sampai ke para penjawat awam serta anggota penguat kuasa, semua pihak sedang bertungkus-lumus mahu pulihkan kembali kestabilan sosioekonomi negara.
”Segala keluh kesah rakyat, terus didengari oleh pimpinan tertinggi kerajaan termasuklah surat terbuka dari 46 orang pakar kesihatan yang memberi cadangan kepada kerajaan.
”Respon langsung dari YAB Perdana Menteri terhadap surat itu ialah dengan mempelawa rakyat untuk menyertai kumpulan penasihat kesihatan dan sains bagi mempermantapkan lagi kerjasama antara golongan profesiengan pihak pemerintah.
”Malah luahan hati seorang doktor muda di Hospital Sungai Buloh juga turut mendapat perhatian Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memutuskan untuk membuat pengagihan tambahan kakitangan bertugas bagi memastikan keperluan sumber manusia mencukupi di hospital tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pengumuman Pakej Bantuan Khas (PERMAI) 2021 oleh Perdana Menteri merupakan kesinambungan bantuan demi bantuan yang terus dihulurkan oleh kerajaan kepada rakyat.
”Semua ini menjadi bukti keprihatinan kerajaan kepada rakyat,” katanya.