BALING 5 Feb. – “Gembira betul rasanya apabila mendapat set bakul barangan makanan ini. Anak-anak pula ceria apabila mendapat set barangan sekolah. Pasti mereka seronok dan tak sabar untuk memulakan alam persekolahan.
“Terima kasihlah kerana prihatin dengan nasib kami. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya.’’
Itulah antara kata-kata yang diluahkan oleh keluarga kurang berkemampuan yang beroleh set bakul barangan makanan serta set barangan sekolah.
Sebanyak 10 keluarga kurang berkemampuan di Kampung Padang Che Mas Mukim Pulai di sini menerima bantuan tersebut dalam program anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Baling.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Ketua Bahagian Baling, Mohd. Taufik Yaacob memberitahu, dalam program prihatin rakyat itu pihaknya bersama Armada dan Srikandi telah mengunjungi 10 keluarga berkenaan untuk menyampaikan bantuan.
“Rata-rata mereka terkejut dengan kunjungan kami dan mereka sangat menghargai bantuan diberikan walaupun dalam bentuk yang kecil,’’ katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut beroleh maklumat masih terdapat keluarga yang perlu diberikan bantuan di daerah Baling dan BERSATU sedang berusaha menyediakan bantuan yang perlu.
“BERSATU bahagian menyedari keadaan ini dan kita giat melakukan sedaya mungkin,’’ katanya.
Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan di atas usaha menyediakan sumbangan barangan tersebut.