KUALA LUMPUR 8 Feb. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan bantuan sebanyak 857 buah beg sekolah kepada penduduk Setiawangsa.
Bantuan melalui Yayasan Bina Inisiatif BINA Bangsa (BINA) dan BERSATU Bahagian Setiawangsa itu disampaikan kepada persatuan penduduk setempat yang merangkumi enam kawasan perumahan serta dua buah surau dalam Palimen Setiawangsa.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, bantuan beg sekolah itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan ibu bapa serta memperkenalkan PTPTN dengan sebetulnya.
Beliau yang juga Pengerusi BINA berkata, program berkenaan adalah bagi memastikan hubungan yang baik dengan masyarakat, persatuan penduduk serta pemimpin setempat.
“Objektif program ini antara lain bagi mempromosikan peranan PTPTN sebagai agensi penabungan kepada masyarakat serta mendedahkan mereka kepada produk penabungan yang ditawarkan PTPTN,’’ katanya.
Tambahnya, PTPTN akan meneruskan program-program kebajikan bagi mendapatkan pengiktirafan serta penerimaan masyarakat mengenai usaha yang dilakukan kerajaan.
Sementara itu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Setiawangsa, Mohd. Ikhmal Abu Bakar berkata, pertemuan dan bantuan yang diberi kepada penduduk sekitar Parlimen Setiawangsa menunjukkan keazaman pihaknya dalam membantu masyarakat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PTPTN dan Yayasan BINA atas bantuan yang diberi serta memastikan program ini berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penghuni Rumah Kediaman PDRM Hulu Kelang, Zaini Amir berkata, sumbangan beg sekolah kepada anak-anak barisan hadapan sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa.
“Dengan adanya program seperti ini, kami amat berterima kasih kepada Datuk Wan Saiful serta PTPTN kerana sudi membantu penduduk di Setiawangsa ini,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penduduk Menara Seri Jati, Abdul Rahman Abdul Kadir berkata, sumbangan beg sekolah kepada penduduk Menara Seri Jati di sini sungguh bermakna kerana ia amat diperlukan oleh penduduk serta mengurangkan beban ibu bapa di kawasan ini.