KOTA MELAKA 13 Feb. – “Saya dan keluarga terima baik pimpinan muda seperti Kelvin Lim Ban Hwee.
“Walaupun usia dia masih muda dalam lingkungan 30-an, tapi kami serta penduduk sekitar gembira kerana dia bukan sahaja dapat menyuarakan isu kaum Cina, malah turut membantu kaum-kaum lain termasuk Melayu dan India.
“Ini satu keharmonian, dan saya serta penduduk sekitar menganggap ini sebagai satu hadiah sempena Tahun Baharu Cina, pada hal saya dan Kelvin tiada kaitan keluarga pun,’’ kata seorang penduduk, Fang Kong Weng, 57, yang ditemui di kediamannya di Taman Seri Telok Emas di sini.
Beliau ditemui dalam program penyerahan barangan dapur serta buah limau yang diketuai Kelvin yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bahagian BERSATU Kota Melaka.
Program itu turut disertai Ketua Penerangan BERSATU Negeri Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim merangkap Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka.
Turut hadir Pemangku Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof, wakil Srikandi dan Armada.
Program anjuran bersama BERSATU dan Pas itu sekaligus menunjukkan kerjasama erat serta perpaduan dalam menyantuni masyarakat Parlimen Kota Melaka.
Seorang lagi penduduk, Sally Chong, 56, pula berkata, kehadiran Kelvin bersama Hishamuddin dan Zuhaidi pada Tahun Baharu Cina membuktikan perpaduan kaum yang wujud dalam Parlimen Kota Melaka dipelopori oleh BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, barangan yang diberi sempena Tahun Baharu Cina itu satu penghargaan penting, namun yang lebih utama apabila Kelvin bersama Hishamuddin serta lain-lain peserta program mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada keluarganya selain penduduk di taman perumahan berkenaan.