SEMPORNA 17 Feb. – Janji-janji manis yang tinggal hanya `janji kosong’ menjadi faktor utama 30 ketua cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Selain itu, faktor yakin dengan kepemimpinan diterajui Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebabkan bekas ketua-ketua cawangan Warisan itu menyertai BERSATU.
Mereka juga melahirkan rasa tidak puas hati kerana setelah sekian lama menyertai Warisan, janji yang ditaburkan untuk membela rakyat masih tidak ditunaikan.
Ketua BERSATU Bahagian Semporna, Mohd. Daud Tampokong memberitahu, sejak sekian lama bekas ketua-ketua cawangan Warisan itu menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepemimpinan Warisan.
“Mereka sukar menjawabnya apabila ditanya oleh rakyat dengan janji-janji yang ditaburkan.
“Kecewa dengan pucuk pimpinan, mereka terpaksa meninggalkan Warisan.
“Mereka ini mahu membela dan berkhidmat kepada rakyat sebab itu mereka meninggalkan Warisan dan melihat BERSATU adalah parti yang tepat kerana fokus kepada agenda membela rakyat,’’ katanya.
Dalam pada itu, kata Mohd. Daud, pihaknya menerima lebih banyak permohonan daripada bekas ahli Warisan untuk menyertai BERSATU.
“Tapi sekarang ini masih PKP, janji kita akan uruskan secepat mungkin. Malah BERSATU bahagian ini sentiasa mengalu-alukan kehadiran bekas ahli Warisan ke dalam BERSATU.
“Kita juga member penerangan mengenai perjuangan BERSATU yang jelas berkhidmat untuk rakyat,’’ katanya,