Oleh Serayu Suria
KUALA LUMPUR 26 Februari : Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengepalai pasukan Bersatu dalam perundingan kerusi bagi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata perkara ini diputuskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu.
Faizal ketika ditemui wartawan berkata, semua parti PN berhak menyatakan kepentingan mereka untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam PRU 15.
Portal berita FMT melaporkan Faizal turut menyangkal dakwaan bahawa Bersatu cuba menguasai pembahagian kerusi.
Tambah Faizal lagi parti itu belum membincangkan sebarang kerusi dengan Umno.
“Sekiranya ada tuduhan Bersatu mahukan terlalu banyak kerusi, ini tidak benar kerana perbincangan belum bermula,” katanya.
Faizal turut berkata Bersatu tidak mempunyai masalah untuk membincangkan kerusi dengan mana-mana pihak.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Faizal paling layak mengepalai rundingan tersebut.
” Beliau mempunyai pengalaman dalam hal ini dan pengumuman tersebut merupakan satu perkembangan baik,” katanya dalam sebuah kenyataan disini hari ini.
Tambah Wan Saiful, Pembahagian kerusi adalah perkara penting yang memerlukan ketokohan individu seperti Datuk Seri Faizal.
“Dengan pengumuman ini maka proses rundingan boleh bermula.
“Keperibadian Datuk Seri Faizal juga tepat kerana beliau disenangi oleh semua pemimpin dalam gabungan PN,” katanya.