1) Sempena pelancaran Forum Minggu Al-Quds Sedunia oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) secara maya pada 7 Mac lalu, ingin saya berikan sedikit kupasan mengenai konflik kemanusiaan ini yang telah lama berlanjutan sejak jatuhnya empayar Turki Uthmaniyyah setelah Perang Dunia yang pertama.
2) Perjuangan membebaskan Al-Quds dan usaha memerdekakan rakyat Palestin dari cengkaman penjajahan Zionis makin hari makin `kelam’ terutama apabila satu demi satu negara Arab Muslim di rantau itu mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.
3) Walaupun pahit, kita perlu akui, secara teknikalnya ia menggambarkan kejayaan agenda Zionis untuk menghalalkan kewujudan serta pengaruh pihak mereka di pentas dunia terutama di Timur Tengah. Ia juga secara tidak langsung memberi isyarat bahawa perjuangan Palestin hampir menemui kekalahan.
4) Saya tidak menafikan atau memperlekeh segala semangat, kudrat, dan air mata para pejuang Palestin yang masih tegar berusaha menuntut hak mereka. Sesungguhnya jiwa mereka cukup kental dalam menghadapi segala bentuk rintangan dan realiti yang terpaksa dihadapi apabila berhadapan dengan sekelompok manusia yang bertuhankan `kemaksuman’.
5) Di sini wajarlah kita semua bermuhasabah diri, menjenguk kembali sejarah, demi mencari punca kelemahan sendiri dan dalam masa yang sama, belajar bagaimana musuh kita boleh bangkit jadi begitu kebal sekali.
6) Orang Yahudi, subset kepada keturunan Bani Israel silam yang selama ribuan tahun diperhambakan, ditindas, dijajah serta dipisahkan oleh empayar-empayar bangsa lain, dalam masa kurang sedekad dilihat telah bersatu dan mempengaruhi perjalanan sosiopolitik, ekonomi dan teknologi dunia. Apakah rahsia mereka?
7) Sebelum itu, saya tidak bermaksud untuk mengajar para pejuang dan penyokong Palestin di luar sana. Cuma sebagai seorang yang sentiasa belajar serta memperhalusi isu ini sejak dari zaman universiti lagi, saya fikir umat Islam terutamanya masyarakat Palestin, wajar berfikir di luar kotak, dan mengambil sedikit sebanyak pengajaran dari kebangkitan kaum Yahudi tersebut.
8) Pertama sekali warga Palestin perlu mengakui dan menerima bahawa masyarakat mereka adalah majmuk. Arab Palestin bukan saja meliputi penganut Islam, malah Kristian dari dua mazhab gereja terbesar iaitu Katolik dan Ortodoks. Malah mereka yang mengaku Syiah, Druze, Sekular, Ahmadiyyah dan Samaritan perlu juga diambil kira dalam usaha untuk memperkasakan sokongan ke atas pihak yang menentang Zionis.
9) Seperti juga di Malaysia, kita tidak wajar menjadikan segala acara atau aktiviti atas nama Palestin hanya melibatkan umat Islam atau agensi-agensi Islamik sahaja. Kita sepatutnya turut melibatkan warga Malaysia tanpa mengira latarbelakang agama, politik atau pun kaum. Objektif kita sepatutnya ke arah mendekatkan seramai mungkin kelompok masyarakat yang berbeza dengan perjuangan Palestin atas dasar kemanusiaan dan menyokong undang-undang antarabangsa.
10) Seperti mana Palestin mendapat sokongan dari sebahagian masyarakat Ireland, Brazil, Portugal dan Afrika Selatan (sebagai contoh), mereka yang memperjuangkan Palestin perlu mengurangkan retorik menggunakan agama jika berucap di pentas antarabangsa atau ketika berhadapan dengan media luar. Hakikatnya umat Islam tidak boleh berseorangan dalam membela Palestin. Kita perlukan lebih ramai rakan sekutu dalam melawan imperialisme Zionis.
11) Mesej yang patut ditonjolkan ialah kenapa Palestin wajar dibela oleh masyarakat dunia? Ia perlu diselitkan dengan senarai pencapaian warga Palestin di luar negara dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada semua manusia. Kita wajar propagandakan bahawa negara Palestin yang diimpikan adalah negara yang adil, progresif, moderat dan mendukung nilai-nilai integriti. Insya Allah barulah lebih ramai yang akan mendukung perjuangan Palestin ini.
MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Timbalan Pengerusi Sektor Penyelidikan, Penerbitan & Antarabangsa
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)