Tingkatkan SOP, penguatkuasaan terhadap operasi bazar Ramadan bagi menghindar penularan Covid-19

 

KUALA LUMPUR 26 Mac –  Menjelang sambutan Ramadan dengan keputusan membenarkan operasi bazar Ramadan, kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa digesa meningkatkan lagi pemantauan serta penguatkuasaan agar orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengengkang penularan Covid-19.

Ketua Penerangan Penggerak Komuniti Negara (PKN) Malaysia, Zakaria Ab. Rahim berkata, langkah itu perlu bagi mengengkang pandemik Covid-19.

Jelasnya, SOP yang ketat bukan sahaja perlu dipatuhi oleh pengguna, malah para peniaga juga.

“Kita jangka bazar-bazar Ramadan akan dikunjungi oleh ramai orang di seluruh negara.

“Dalam hal ini, SOP yang ketat perlu dilaksanakan selain memastikan peniaga dan pembeli mematuhi SOP berkenaan.

“Agensi penguat kuasa perlu diletakkan sepanjang masa di bazar-bazar Ramadan ini bagi mengambil tindakan tegas jika ada pihak yang melanggarnya.

“Langkah ini perlu kerana kita tidak mahu kelak ada tuduhan liar mengatakan disebabkan bazar Ramadan, pandemik Covid-19 makin meningkat,” katanya.

Di samping itu, kata beliau, SOP yang ketat selain tindakan tegas itu bukan bertujuan menyekat perniagaan di bazar-bazar Ramadan sebaliknya sebagai langkah pencegahan agar pandemik tersebut tidak menular.

“Dalam hal ini, rakyat termasuk pembeli dan peniaga harus faham bahawa langkah penguatkuasaan itu bagai menjaga keselamatan kesihatan semua pihak,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *