Menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini di mana serangan, penghinaan dan tohmahan terhadap BERSATU sesuatu yang amat keterlaluan sekali.
Sikap beberapa jurucakap UMNO itu seolah-olah BERSATU adalah musuh mereka, sedangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU telah memberi banyak kedudukan untuk jawatan menteri, timbalan menteri dan CEO GLC kepada pemimpin-pemimpin UMNO terbabit.
Kenapa mereka tidak bersyukur dan berterima kasih atas nikmat yang diperolehi dan sedarkah mereka bahawa UMNO sebenarnya telah kecundang dalam PRU-14 lalu?
Lebih teruk lagi, Perdana Menteri sendiri turut dihina secara terbuka dan melampau tanpa sedikit pun ada rasa hormat atas budi baik yang telah beliau lakukan terhadap UMNO sejak setahun lalu.
Mereka yang berucap dan menyerang BERSATU serta Perdana Menteri itu berlagak seperti pembangkang, tanpa ada semangat secara bersama membentuk kerajaan PN ini.
Pelik sungguh UMNO ini, BERSATU yang membawa mereka dalam kerajaan dijadikan musuh, tetapi musuh sebenar di luar seperti PKR dan DAP langsung tidak disentuh.
Apa sebenarnya perjuangan UMNO sekarang dan apakah UMNO begitu yakin mampu menang PRU akan datang dengan sikap menyerang rakan sendiri seperti sekarang ini?
Begitu pun, sebagai parti perjuangan dan sebahagian kita dalam BERSATU sendiri bukan golongan mentah dalam politik, kita jangan sesekali lemah atau mengalah dengan kelakuan UMNO ini.
BERSATU perlu bangkit dan terus bangkit mengibar obor perjuangan dengan matlamat utama iaitu membela serta memperjuangkan nasib rakyat.
Mari kita terus melangkah ke hadapan dengan keberanian dan keyakinan untuk mempertahankan BERSATU dan Perdana Menteri yang kita cintai ini.
DATO’ NORIZAN ALI
Ketua BERSATU Bahagian Kepong, WP.