SEMPORNA 14 April – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Semporna kini mempunyai lebih 8,000 ahli dengan 160 cawangan, kata Ketua BERSATU bahagian, Mohd. Daud Tampokong.
Menurutnya, pendaftaran cawangan-cawangan itu sedang giat dijalankan dan menjangka jumlah tersebut akan bertambah berdasarkan keyakinan penduduk terhadap agenda integriti BERSATU.
Di samping itu, beliau berkata, bahagian itu juga kini mempunyai sebanyak 140 ahli Bersekutu dari kaum Cina.
Jelasnya, jumlah ahli parti, cawangan dan ahli Bersekutu itu dijangka bertambah dan kempen menarik keyankinan penduduk terhadap BERSATU sedang giat dijalankan.
“Antara faktor penting penambahan ahli, cawangan serta ahli Bersekutu itu ialah agenda integriti yang dibawa oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Integriti dalam semua perkara dan penduduk melihat BERSATU memiliki integriti termasuk dari segi pucuk pimpinan parti.
“Penduduk mahu negara ini dipimpin serta ditadbir oleh orang-orang yang berintegriti,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohd. Daud berkata, penyertaan ke dalam BERSATU juga atas faktor kepemimpinan yang ditonjolkan oleh Abah (Muhyiddin).
“Rakyat melihat Abah umpama seorang bapa yang sentiasa menjaga rakyat, kebajikan serta membela dan menyelesaikan masalah rakyat dan bukanya mengutamakan diri sendiri.
“Inilah yang membuatkan ramai orang menyertai BERSATU dan kita jangka jumlah keahlian ini akan bertambah,” katanya.
Mohd. Daud berkata, dalam bulan Ramadan ini pihaknya akan terus menyantuni penduduk selain menyampaikan sumbangan termasuk kepada mereka yang terkesan ekonominya.
“Kita akan terus pastikan penduduk dapat menjalani ibadah puasa dan barangan dapur menjadi antara keperluan asas yang akan kita usahakan untuk mereka yang memerlukan. Kita juga tidak lupa untuk menyantuni kaum lain sebagai mengeratkan lagi perpaduan dalam Ramadan ini,” katanya.