TANJONG KARANG 15 April – Banyak rakyat negara ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 terutama golongan B40 termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Prihatin dengan pelbagai masalah rakyat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sejak awal lagi telah mengambil langkah menjadikan agenda membela dan menyelesaikan masalah rakyat antara keutamaan.
BERSATU Bahagian Tanjong Karang juga tidak ketinggalan dalam perkara ini apabila menjalankan program prihatin dan yang terbaharu dilaksanakan di Bestari Jaya dekat sini.
Dalam program yang mendapat sambutan serta memang dialu-alukan penduduk setempat, sebanyak 60 keluarga yang kurang berkemampuan diberikan sumbangan barangan dapur untuk keperluan harian.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tanjong Karang, Dato’ Dr. Zulkafperi Hanafi memberitahu, keluarga yang menerima bantuan itu amat berterma kasih kepada BERSATU.
“Mereka dari keluarga yang terbabit dan terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk kehilangan pendapatan dan sebagainya.
“Kita sebelum ini berjaya mengumpulkan senarai penduduk di situ yang memerlukan bantuan dan hasil maklumat yang diterima BERSATU bahagian berjaya menyampaikan barangan keperluan untuk mereka.
“Program prihatin ini akan diteruskan dan bantuan yang diberi itu melibatkan semua kaum tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Kita bantu semua pihak selagi mampu,” katanya.
Zulkafperi berkata, program prihatin tersebut akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain dalam Parlimen Tanjong Karang sepanjang Ramadan ini.
Beliau berkata, BERSATU Tanjong Karang juga mengalu-alukan penglibat mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam setiap program prihatin yang bertujuan membantu dan menyelesaikan masalah rakyat.