Suara Akarumbi: Kuatkuasakan undang-undang mutlak untuk disiplinkan rakyat

Kerajaan diakui mempunyai daya dan kemampuan untuk melaksanakan undang-undang maka ia menjadi kewajipan untuk berbuat demikian.

Undang-undang bukan bermakna penindasan akan tetapi  suatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat.

Sebagai pemerintah, kerajaan perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik rakyat di negara ini untuk berdisiplin dan mematuhi undang-undang.

Undang-undang yang ketat dan dikuatkuasakan dengan sebaiknya akan membuatkan rakyat berdisiplin dan mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Pada masa sama, kita tidak boleh membiarkan kebebasan mutlak ibarat negara tidak mempunyai undang-undang hingga rakyat boleh berbuat sesuka hati atas sebab kebebasan bersuara.

Keadaan ini akan mewujudkan ketidaktenteraman awam dalam pelbagai sudut termasuk penentangan terhadap Raja-raja Melayu.

Banyak lagi undang-undang yang belum kita kuatkuasakan sepenuhnya seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan lain-lain.

Ini yang perlu kita titikberatkan di mana agensi dan jabatan kerajaan perlu membantu pemerintah untuk membaik pulih ekonomi dan melawan Covid-19 dengan melaksanakan penguatkuasaan mutlak.

Pelaksanaan undang-undang yang tegas ini lebih baik dari kita membuang masa melawan atau melayani propaganda pihak tidak bertanggungjawab.

Tindakan undang-undang yang tegas juga sudah cukup untuk melawan propaganda pihak terbabit selain memberi pengajaran serta mendisiplinkan semua orang.

MOHAMAD SHAFIQ ABDUL HALIM
Ketua Penerangan BERSATU Kampung Piew
Alor Setar, Kedah

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *