Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menyelaraskan pengagihan dividen RISDA dan FELCRA dengan nilai keseluruhan RM189.08 juta.
Alhamdulillah, dividen RISDA berjumlah RM82.03 juta akan diagihkan kepada 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan 15,165 pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersil (TSK), melibatkan keluasan 39,430 hektar di seluruh negara, sementara 58,826 peserta FELCRA di seluruh negara akan menerima bayaran agihan akhir lebihan keuntungan projek tahun 2020 secara berperingkat.
Jumlah agihan akhir FELCRA sebanyak RM107.05 juta ini adalah lebih tinggi berbanding RM83.82 juta pada tahun 2019. Menerusi pelbagai langkah dan strategi Kerajaan PN, Malaysia kini berada dilandasan yang betul bagi mengembalikan kekayaan negara kepada rakyat terbanyak.
Seperti yang kita lihat, peningkatan prestasi ekonomi negara ini bukan sahaja di atas kertas, tetapi lebih penting, ia dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, terutamanya dikalangan golongan berpendapatan rendah dan di luar bandar.
Dengan dasar-dasar kewangan yang cekap dan telus, strategi kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin ini tidak hanya bersifat ‘sementara’. Ia bukan taktik memberi ‘gula-gula’ yang sering diamalkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka, tetapi sebaliknya merangkumi pelan-pelan pembangunan jangka panjang yang lebih efektif dan lestari, disamping program-program jangka pendek yang dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan ketika menghadapi cabaran wabak COVID-19 kini.
Tahniah saya ucapkan kepada barisan Kabinet PN. Walaupun setiap hari ada “kluster merungut” yang cuba mencipta persepsi palsu kerajaan ini gagal supaya mereka nampak seperti hero yang bersih, hakikatnya kerajaan PN terus menempa kejayaan demi kejayaan yang dikongsi dengan rakyat. Ini membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan cekap dan prihatin.
DATUK WAN SAIFUL WAN JAN,
KETUA PENERANGAN BERSATU MALAYSIA.