Armada Kota Raja siap sedia misi sukarelawan bantu rakyat Palestin

Isu serangan dan penindasan zionis Israel terhadap rakyat Palestin sama ada di Baitulmaqaddis, Gaza mahupun Tebing Barat memuncak terutama ketika Ramadan mahupun menjelang sambutan Aidilfitri setiap tahun.

Seperti biasa ia mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia dan pada masa sama keprihatinan masyarakat Islam akan menggerakkan misi bantuan dalam pelbagai bentuk.

Dalam hal ini, kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi hinggalah kepada kepemimpinan yang ada sekarang di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap berpendirian membantu rakyat Palestin termasuk yakin bahawa usaha diplomtik adalah jalan terbaik.

Selain kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pelbagai juga turut menggerakkan misi bantuan.

Dalam hal ini, saya terpanggil untuk mengesyorkan agar misi sukarelawan dan bantuan untuk rakyat Palestin itu sama ada yang tinggal di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqaddis ditingkatkan serta diselaraskan.

Malah, Armada Kota Raja juga bersiap sedia kerahkan ahli-ahlinya menjadi sukarelawan untuk menyelaraskan misi bantuan sama ada dari dalam negara atau pun yang berada di luar negara.

Ini memang komitmen Armada Kota Raja.

Selain itu, Armada juga berharap setiap bantuan itu dapat sampai kepada sasaran. Juga memastikan setiap bantuan tidak diseleweng oleh pihak luar.

Banyak NGO bersama sukarelawan masing-masing di negara ini yang benar-benar prihatin dan mengusahakan bantuan termasuk menyerahkan kepada pihak ketiga sebelum ia dapat diserahkan pula kepada rakyat Palestin.

Penglibatan menggunakan pihak ketiga itu disebabkan bukan senang untuk menyalurkan bantuan agar sampai kepada rakyat Palestin kerana terlalu banyak halangan serta kekangan terutama yang melibatkan isu sempadan dan diplomatik.

Yang pasti semua NGO di negara ini bersungguh-sungguh untuk mengusahakan supaya setiap bantuan itu dapat sampai.

Dalam hal ini, adalah lebih berkesan jika setiap bantuan itu diselaraskan kerana penyatuan dan kesepaduan lebih berkesan dan utuh berbanding bersendirian.

Apa pun juga pada masa sama tidak salah jika ada NGO bertindak bersendirian kerana ia mempunyai rantaian tertentu yang membolehkan sesuatu bantuan itu sampai kepada sasaran.

Kerajaan juga mungkin dapat memikirkan atau melihat semula serta memperkemaskinikan rantaian sedia ada bagi mencari jalan penyelesaian supaya setiap bantuan sama ada dari orang perseorangan, kerajaan sendiri mahupun NGO dapat diselaraskan.

Saya yakin, kerajaan juga sedang meningkatkan hubungan dua hala selain kerjasama diplomatik dengan pelbagai negara termasuk kuasa-kuasa besar agar perdamaian terus wujud di Palestin selain bantuan dapat terus disalurkan.

 

MUHAMMAD AFFENDI MOHD. DILIF

Ketua Armada BERSATU Bahagian Kota Raja, Selangor

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *