TAIPING 17 Mei – Seorang warga emas, Salariah Sabiram, 71, yang hidup merangkak sejak enam tahun lalu kerana keuzuran, diziarahi serta dibantu oleh BERSATU Bahagian Taiping di sini.
Salariah ditemui ketika diziarahi oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Perak, Kader Maideen Hussain dan Setiausaha Penerangan BERSATU negeri, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz, yang menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban wanita tersebut.
Keuzuran serta kekurangannya itu tidak pernah dijadikan alasan untuk hanya duduk diam, sebaliknya ia menjadi penguat semangat untuk Salariah menguruskan dirinya sendiri.
“Sudah enam tahun makcik tidak boleh berjalan atau berdiri kerana keuzuran dan lutut ini pun tidak lagi.
“Tetapi makcik masih mampu merangkak untuk ke dapur, bilik air, solat, ambil air sembahyang dan ke depan rumah untuk menyapu sampah dan sebagainya. Inilah sahaja kekuatan dan tenaga yang masih ada,” kata Salariah di rumahnya di Kampung Setia Jaya, Kamunting dekat sini.
Menurut Salariah, dia tinggal bersama anaknya, Mohd. Sahnizam Che Man, 36, yang masih belum berkeluarga.
Anaknya itu hanya dapat membantu ketika berada di rumah kerana dia perlu bekerja di sebuah kilang berhampiran.
Cerita Salariah lagi, ketika berseorangan di rumah dan apabila terasa lapar, dia akan sedaya upaya mengusahakan untuk memasak apa sahaja yang ada termasuk jika perlu menggunakan kerusi.
“Memang sukar, penat dan sakit apabila perlu merangkak tetapi apa boleh buat kerana makcik terpaksa juga menguruskan diri selagi kudrat ada. Kalau guna tongkat pun dah tak boleh sebab tak tahan sakit,’’ katanya.
Salariah berkata, pada masa ini dia tidak memperolehi sebarang bantuan dari mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana tidak tahu cara untuk memohon bantuan.
“Memang tidak tahu jika ada apa-apa bantuan yang boleh dipohon dan apa caranya,” katanya.
Daripada ziarah itu, wakil BERSATU Perak, Kader dan Zulkifli berjanji akan mengusahakan apa jua bantuan yang sesuai untuk wanita itu termasuk keperluan kerusi roda.
Malah, wakil BERSATU Perak itu yang juga yang merupakan kepemimpinan BERSATU Bahagian Taiping akan segera mengusahakan kad OKU bagi membolehkan Salariah mendapat bantuan keperluan yang sesuai.