Kemahiran ICT mampu tingkat ekonomi, pendapatan belia 

CYBERJAYA 20 Mei – Golongan belia harus melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu serta kemahiran terutama berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai langkah untuk terus mengupayakan ekonomi diri tanpa hanya bergantung kepada pendapatan makan gaji atau bantuan subsidi semata-mata.

Sehubungan itu, pendedahan kemahiran ICT kepada belia tidak boleh terhenti malah perlu diperluas serta dilipatgandakan kerana ia berkaitan dengan perkembangan ekonomi dan kehendak industri selain kelestarian teknologi pada masa akan datang.

Ketua Armada BERSATU Bahagian Sepang merangkap Naib Ketua Armada Selangor, Muhammad Shahmi Shamsuddin berkata, dalam keadaan ekonomi semasa yang terkesan kerana pandemik Covid-19 ini, golongan belia juga menerima impak terutama ada yang hilang pekerjaan dan sebagainya.

Dalam hal ini, Armada Sepang yakin setiap usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memperkasakan golongan belia  ke arah pembangunan modal insan  yang lestari dan berinovasi tinggi adalah tepat serta berkaitan langsung dengan ICT.

“Kemahiran ICT untuk golongan belia perlu diterus, diperluas serta diperkembangankan lagi kerana ia berkaitan dengan kemajuan semasa.

“Pada peringkat awal, golongan belia perlu dibantu termasuk dari segi kemahiran ilmu dan bantuan pementoran.

“Dengan memiliki kemahiran ICT yang tinggi, golongan belia mampu berdikari sendiri  dan memajukan ekonomi mereka.

“Armada Selangor umumnya bersetuju mencadangkan setiap belia diterapkan dengan kemahiran ICT agar dapat digunakan untuk menambah pendapatan diri serta keluarga,” katanya.

Jelasnya, dengan situasi semasa negara dilanda pandemik Covid-19, ruang ekonomi amat terhad namun penggunaan kemahiran ICT seperti dilakukan oleh sektor IKS dan sebagainya dapat menangani permasalahan yang timbul.

“Dalam keadaan sekarang, memperluaskan ekonomi secara fizikal agak sukar, namun penggunaan ICT adalah langkah tepat dan mampu menyelesaikan masalah pasaran ekonomi.

“Untuk itu, suka atau tidak golongan belia perlu diterapkan dengan kemahiran ICT agar dapat diguna untuk menjana pendapatan dan juga mendepani cabaran industri mendatang,” katanya.

Sehubungan itu juga, adalah wajar syarikat-syarikat MNC atau GLC yang ada di negara ini menyokong usaha kerajaan memperkasakan belia ICT dengan menawarkan pekerjaan yang berkaitan dengan imbuhan setimpal.

Jika tindakan ini dilakukan, kata beliau, yakinlah bahawa syarikat-syarikat terbabit mampu memperkembangkan lagi ekonomi mereka, berdaya saing dan mampan kerana golongan belia ICT ini berupaya membantu meningkatkan pendapatan syarikat.

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *