PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disyor menyumbangkan kesemua wang RM114 juta yang gagal dilucutkan hak oleh kerajaan baru-baru in kepada para peniaga kecil selain membantu rakyat Palestin.
Wang tersebut boleh disumbangkan untuk para peniaga yang terkesan akibat Covid-19, juga membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh zionis Israel.
Sehubungan itu, bagi memastikan wang itu sampai kepada sasaran, Najib boleh menyumbangkan kepada persatuan peniaga yang ada dalam negara ini, manakala untuk Palestin boleh diserahkan kepada NGO-NGO.
Langkah menyumbang kepada persatuan peniaga dan NGO itu boleh dilakukan jika Najib beranggapan tidak yakin dengan integriti serta ketelusan kerajaan yang ada sekarang.
Ketua Penerangan BERSATU Negeri Melaka merangkap Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim ketika melontarkan cadangan tersebut berkata, jika Najib berbuat demikian diyakini bahawa ia tidak merugikan atau ‘memiskinkan’ bekas Perdan Menteri itu.
“Saya yakin, bekas Perdana Menteri itu boleh menyumbang lebih banyak lagi berbanding RM114 juta.
“Najib pernah menjadi Perdana Menteri dan membantu rakyat, jadi walaupun selepas tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, usaha membantu rakyat itu perlu diteruskan.
“Bukan sahaja RM114 juta, saya dan ramai lagi yakin lebih daripada jumlah itu Najib masih mampu,” katanya.
Hishamuddin berkata, ketika negara ini dan dunia dilanda Covid-19 dan pada masa sama rakyat Palestin pula terus ditindas Israel, maka ia menjadi masa yang terbaik dan sesuai untuk Najib menyumbangkan wang RM114 juta itu.
“Jika dapat sumbang lebih daripada RM114 juta itu, maka lagilah terbaik kerana rakyat negara ini dan rakyat Palestin pasti ternanti-nantikannya,” katanya.