TAIPING 23 Mei – Kesusahan penduduk tidak pernah dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya dan ini sentiasa menjadi agenda utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Taiping.
Setiap kali mendapat maklumat mengenai kesusahan penduduk, kepemimpinan BERSATU bahagian akan segera tampil membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Yang terbaharu, Ketua Penerangan BERSATU Negeri Perak merangkap Ketua BERSATU Bahagian Taiping, Kader Maideen Hussain bersama Setiausaha Penerangan BERSATU negeri, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz menghulurkan bantuan kepada dua keluarga yang dikategorikan sebagai susah.
Dua keluarga yang tinggal di Kampung Setia Jaya, Kamunting itu diberikan bantuan barangan dapur bagi meringankan bebanan mereka terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat.
Menurut Kader, pihaknya sentiasa mengumpulkan maklumat mengenai kesusahan penduduk dari situ bantuan akan segera dihulurkan mengikut keperluan.
“Maklumat mengenai penduduk ini sentiasa diperkemaskinikan agar BERSATU Bahagian dapat tahu keperluan mereka. Untuk itu, kita memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyampaikan maklumat yang diperlukan.
“Dari maklumat itu nanti, kita akan bantu sedaya yang mampu,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli pula berkata, selain sumbangan barangan dapur, pihaknya turut berusaha menyelesaikan pelbagai masalah lain yang melibatkan penduduk setempat.
“Apa juga aduan penduduk, kita akan ketengahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan penyelesaian.
“Ini termasuk aduan mengenai keperluan asas seperti jalan raya dan sebagainya. Malah, ada juga penduduk yang mengadu mengenai pekerjaan dan kita akan cuba bantu mereka,” katanya.