KUALA LUMPUR 23 Mei – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memastikan ekonomi negara dan rakyat tidak terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 walaupun PKP 3.0 dikuatkuasakan dengan SOP yang lebih ketat.
Beliau berkata, pengalaman kerajaan ketika melaksanakan PKP 1.0 pada Mac tahun lalu mendapati ia memberi kesan amat besar kepada ekonomi negara dengan kerugian hampir RM2.4 bilion sehari.
“Akibatnya tiada pekerjaan, tiada perniagaan dan banyak lagi. Semua ini memberi kesan amat besar serta kerugian kepada negara.
“Apakah kita hendak bawa balik PKP 1.0. Jika kita bawa balik PKP 1.0 dari segi kehidupan, ekonomi negara akan runtuh. Jangan sampai kita tidak dapat bangkit semula.
“Jika kita laksanakan PKP 1.0, kita mungkin terpaksa sediakan peruntukan setengah trilion ringgit, adakah kita mampu berbuat demikian.
“Kita sudah belajar dari pelaksanaan PKP 1.0, sebab itu kita tidak boleh tutup sepenuhnya. Maka sekarang kita seimbangkan supaya rakyat dapat terus makan dan tidak terjejas,” katanya dalam program Bicara Khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri disiarkan oleh RTM, Astro dan Bernama TV.
Muhyiddin berkata, keseriusan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 itu termasuk mengadakan perbincangan peringkat tertinggi tiga kali seminggu yang beliau sendiri pengerusikan.
Tegas beliau, tumpuan kerajaan adalah sepenuh masa untuk uruskan Covid.
“Kerajaan serius dalam perkara ini kerana Covid -19 satu ancaman besar. Jika kita tidak uruskan cepat dengan situasi yang tidak menentu pada masa ini, ia akan terus mengancam nyawa rakyat,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau sedar rakyat marah kepada beliau dan kerajaan kerana disekat, namun semua yang dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.
“Tidak siapa yang suka disekat, bukan sahaja di Malaysia, malah rakyat seluruh dunia pun tidak suka disekat. Tapi kerajaan ada tanggungjawab untuk jaga nyawa rakyat. Kalau kita tidak ikut dan patuh PKP dan SOP, kita akan jadi mangsa virus Covid ini.
Muhyiddin seterusnya menggesa rakyat supaya sentiasa menjaga diri bagi menghindarkan pandemik Covid-19.
“Rakyat mesti jaga diri sendiri walaupun kita sudah ada vaksin kerana ancaman Covid-19 ini amat serius dengan varian-varian baharu,” katanya.